Saturday, October 13, 2012

Cintanya Cinta

"Apa yang kautahu tentang cinta Arif?"

Soalan itu, tujuh tahun lepas. Daripada wanita itulah. Wanita yang matanya hening bak persih suria di kala terbit. Wanita yang kalamnya dalam dan panjang cetusannya, bak sungai Nil yang terkadang bergelora merobak jiwa. Tetapi selalunya tenteram penyejuk lara.

Wanita itulah. Tujuh tahun lepas, gurauan jadi igauan. Gara-gara tidak tegar menahan bahana mulut si mulut becok Azmi, kau berseloroh, "Ya, aku cintakan Liyana. Dia itu suria terbit, masakan tidak cinta!" Tidak pula kautahu, Liyana yang matanya hening itu di belakangmu.

Dalam diam dia laju berlalu, dan dalam gugup kau tertunduk malu.

Tujuh tahun lepas, Liyana menulis kepadamu (dia terlalu bermaruah untuk bersemuka denganmu kaukira).

"Apa kautahu tentang cinta Arif? Jika cinta itu padamu hanyalah perasaan dikongsi antara dua jantina, atau jambatan perhubungan dua insan. Cinta tidak perlukan suara, Arif. Aku tolak cintamu. Aku tolak cintamu Arif. Kau harus ketemukan cinta"

Itu mungkin kali terakhir kauberkomunikasi dengannya. Tujuh tahun kaumencorak hala, kini takdir tuhan meletakkan kau di persimpangan, ada takdir insani yang akan bertembung!

"Jauh lagi Bos?" Ali Uthman bertanya kepada engkau. Pemandu kau yang setia itu memecah sepi perjalanan yang kanan kirinya hanya pasir luas terbentang. Kata Ali, ibunya syiah dari Iraq dan ayahnya dari Mesir. Mereka berkahwin atas dasar cinta dan toleransi - untuk itu ibunya bilang, dinamakannya Ali Uthman. Supaya, pesan ibunya, saat dia terikut-ikut kerabat ibunya mencerca sahabat ingatlah bahawa namanya itu dari nama sahabat Baginda! Kata Ali, ibunya berpesan, jalannya ada dua - melampau atau sederhana. Bukankah umat ini perlu menjadi umat wasata - dalam ayat pertengahan surah al-Baqarah lagi.

"Aku kira sudah dekat, Ali Uthman.  Biarku semak GPS. Kau penat? Mahu bertukar tugas?" Kau bertanya. Ali hanya menggeleng, sambil tersenyum.

Kaumenyandarkan kepala lagi. Ah. Wanita itulah, saat kini kau mendengarnya bertapak di negara pertembungan ini. Negara Musa dan Firaun. Kau dengar-dengar (kali ini kauberterimakasih kepada Azmi si mulut becok yang sampaikan berita itu kepada engkau) Liyana sudah bertukar arah. "Dia dah lain, Rif", pesan Azmi kepadamu.

Kebetulan kau di Mesir ditugaskan universiti untuk mengkaji struktur hidrogeologi di sungai budi - sungai yang menampung tamadun zaman-berzaman. Kesempatan kauambil - untuk kau menjelaskan sesuatu yang tidak terjelas tujuh tahun lampau.

"Di sini tempatnya, Ariff. Aku pelik kenapa kaumahu ke sini? Bukankah kau anti simbolisme bodoh ini. Katakau dahulu kita sudah punya Tuhan yang maha Agung - yang dia sendiri perihalkan dirinya dalam al-ikhlas. Bahawa dia ialah Tuhan yang Esa, Tuhan As-Samad,Tuhan.... "

Jujur, kau tidak ambil pusing kata-kata Ali Uthman - ya kau pernah sebut itu kepadanya, dan kau masih ingat lagi. Kata-kata Ali hilang berbalam-balam dalam tumpuan engkau mecari kelibat yang satu.

Kelibat wanita itulah.

Saat matahari mula menyondong malu menerjah horizon, kelibat wanita itu muncul dalam penglihatan kau. Jilbab hitam yang dipakainya kencang ditiup angin padang pasir.

Ah, itu dia suriaku. Walau separuh mukanya ditutup, tidak susah untukmu mengenal susuk wajah asia  - dan mata hening suria timur itu terserlah terang dalam kalangan pelancong-pelancong barat.

Jantung engkau berdegup pantas, mendetak-detak dadamu yang bidang. Hutang tujuh tahun akan terbalas.

Kau menghampiri wanita berjilbab hitam itu, lantas memberi salam. Terkontang-kanting Ali Uthman mengekorimu dari belakang.

Matahari dari jihat barat itu semakin condong mengundur diri dan engkau semakin mampir ke hadapan.

"Assalamualaikum, Liyana,"

Tiada respon. Hampir dua puluh saat kau menunggu, sebelum gadis itu mula berbicara, "waalaikumussalam, Arif."

Kaget.

"Kaudatang untuk beritahu apa makna cinta kepadaku? Persoalan yang kauhutang tujuh tahun lepas?"

"errr, " kautahu bukan itu kau datang, kau mahu pohon maaf atas salah faham yang kautimbulkan tujuh tahun lepas.

"Apa makna cinta kepadamu?" Liyana bersuara dingin.

Engkau bungkam. Argh. Persetankan tujuh tahun lepas. Kau ada hutang untuk kautebuskan. Cinta bagimu bukan secetek yang disangkakan.

Kautersenyum - hakikatnya kau cuba-cuba sembunyikan rasa gemuruh yang bergelintar dalam pembuluh darahmu, "Indah bukan monumen ini."

Liyana, tanpa memandangmu, bersuara, "Monumen di Dar el Bahr ini memang unik. Dibina oleh Hatsepshut, seorang firaun perempuan yang katanya, menggantikan anaknya yang masih belum cukup umur tetapi tetap tidak menyerahkan apabila anaknya Thutmoses III cukup umur,"

Kauperasan Liyana tertunduk dan mungkin tergelak. Masakan kautahu daripada jilbabnya yang menutup separuh muka. Dia tergelak untuk perkara yang engkau tidak pasti kerelevanannya. Kau memutarkan pandanganmu ke segenap ruangan. Ruang legarnya yang terbuka luas, satah condong yang mebawa dari ruang legarnya ke tingkat dewan. Langit senja yang merangkak masuk itu, memantulkan cahaya saga merah yang anggun, tertampak pada permukaan perang pasir kuil tersebut.

"Oh ya. Thutmoses bijak. Dia tahu membina piramid-piramid seperti nenek moyangnya membazir - dan mengundang pencuri. Lalu dia bina kuil yang cantik ini, jauh daripada tumpuan kerana cintanya. Cinta yang mendalam akan masa kematiannya. Walaupun ia mungkin kedengaran bodoh, daripada sarwapandang islam - tetapi ini simbol cinta, atau mungkin obsesi. Dan cinta, Arif, ialah fitrah manusia, mereka mahu mencintai, dan berkorban untuk yang dicintai,"

Sungguh kauterkejut. Tidak kaupernah menyangka Liyana akan menyentuh perihal itu, "Tetapi ini bukan simbol cinta Liyana. Cinta tidak perlukan suara, seperti katamu dulu. Cinta perlukan rasa, dan bumi ini juga menjadi saksinya. Kaukenal Asiah, atau mungkin dalam sejarah namanya Isitrofit. Isteri kepada firaun kejam Ramses II. Beliau mati dirantai kaki dan tangannya oleh suaminya sendiri. Dia lemah, tidak mampu bersuara - tetapi cintanya melebihi segala Liyana. Cinta yang tidak bersuara kepada Tuhannya - Tuhan yang dikenal melalui anak asuhannya Musa alaihissalam, bukan si suaminya yang bongkak mengaku Tuhan! Atau Sumayyah, wanita pertama yang syahid, bukan malah dialah umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasalam yang pertama syahid!"

Kausaksikan Liyana hanya kaku memandang ke bawah, lelaki di belakangnya, separuh abad atau lebih mungkin, seolah-olah tertarik dengan hujahmu.

"Cinta, bagimu Arif, perlukan rasa? Cinta kepada Tuhan sahaja? Bagaimana manusia?" Suara halus itu bergema lagi, dalam lantun-lantun dewan berseli tiang yang dibina 3000 tahun lepas.

"Kenapa harus dipisahkan cinta Liyana. Cinta yang kita ada ini serpihan daripada cinta Tuhan. Cinta didorong percaya, cinta merelakan pengorbanan.

Aku rasa kautahu ayat cinta, err, ayat mengurus cinta barangkali lebih tepat, yang Allah turunkan dalam al-Baqarah ayat 221. Di situ Allah tetapkan bahawa tidak boleh mengahwini perempuan atau lelaki musyrik dan hamba yang beriman lebih baik untuk dikahwini berbanding mereka. Tetapi Liyana, aku tertarik kepada penghujung ayat, Allah berfirman, 'Mereka - orang musyrik - mengajak kepada neraka dan Allah menyeru kepada maghfirah (kemaafan) dan syurga.'

Maghfirah dan syurga, Liyana, aku kira, begitulah makna cinta bagiku, seperti Allah mahukan itu untuk hamba-hambanya - cinta harus dituju kepada itu. Keampunan dan syurga."

Lepasan nafas yang besar kauluahkan, seolah-olah beban yang maha berat kautanggung selama ini, dilepaskan, dan sakitnya hilang serta merta. Kau saksikan Liyana - dan matanya yang hening itu bergenang dan tertunduk. Engkau serba-salah, "Ah, sudah dahulu aku runsingkan hidupnya, kini aku tumpahkan air matanya pula. Celaka ego lelakiku!"

"Nak," semena-mena lelaki separuh abad yang kausaksikan tertarik dengan pembelaan dirimu bersuara.

"Hadith Nabi yang pakcik dengar, maksudnya lebih kurang begini apabila datang lelaki yang beriman dan berakhlak jangan dikecewakan.."

"Walid..." Liyana memotong, bagai anak gadis merengek kepada ayahnya. Kini engkau sedar, lelaki separuh abad itu ayah Liyana! Serta merta, jantung engkau berdegup kencang. Engkau merasakan pora tapak tanganmu mula digenangi peluh yang tidak segan.

"Walid rasa, Walid tahu kenapa semua pinangan lelaki lain kamu tolak anakku. Kamu, tunggu lelaki ini bukan?" Liyana tertunduk tidak menjawab, dan tangannya tegas mengelus tangan ayahandanya.

Saat itu, tidak semena-mena malu datang menyinggah tanpa dijemput. Engkau tebak, pasti, Liyana pun begitu.

Liyana tunggu aku? Si mata hening ibarat suria pagi menungguku? Masakan sang suria menunggu lelaki sepertiku. Suria akan terus bersinar dan terbit, memberi harapanku. Dan suria ini tidak mahu terbit kerana menungguku?

"Nak, siapa namamu, Arif bukan?

"Arif Rasyid,"

"Arif Rasyid, sudikah kamu menerima anak pakcik Liyana Shamsiah untukmu?"

Allah, kau tertunduk melutut. Kakimu lemah, dan dalam perasaan berbaur itu engkau bersujud syukur, atau memohon petunjuk - engkau kurang pasti. Yang engkau pasti dalam persimpangan takdir ini engkau perlukan petunjuk - dan siapakah yang lebih baik memberi petunjuk daripada Tuhan Pemilik Alam, Perencana dan Pelaksana taqdir?

Allah dan Bumi Musa menjadi saksi dalam persimpangan hidupmu Arif Rasyid!

Monday, October 8, 2012

Mati lagi

Apabila kematian datang menjemput,

apakah yang akan kaukatakan padanya?


"Terima kasih, Tuhanku sudah menungguku,"


atau,


"Berikan aku waktu lagi, persiapan bertemu Tuhanku,"

Sungguh, kematian takkan berganjak.




Menjadi hamba - kadang terlupa tugas.

Atau menjadi hamba - yang dalam peluk rindu cinta Tuhannya.



Tribut untuk junior saya yang meninggalkan dunia, tetapi yang masih hidup ini alhamdulillah terkesan dengan peninggalannya.

Allahamdulilah

Saturday, October 6, 2012

...

Wahai Tuhan.

Izinkan hati ini menggarap rasa, saat semua manusia lena dalam dendang lipatan malam.

Wahai Tuhan.

Izinkan diri ini jatuh lemah hilang dari penggantungan dunia, hanya kepada-Mu.







Wahai Tuhan,

diri ini sedar satu masa, akan ada pertemuan dengan-Mu.


Wahai Tuhan.

Ingatkan aku itu setiap masa.

“Tuhan kami Tabaraka wa Ta‘ala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga akhir waktu malam berfirman: “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan mengabulkannya baginya, barangsiapa meminta kepadaKu maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunanKu maka Aku mengampuninya.” (Hadis riwayat Bukhari)



Tuesday, October 2, 2012

Episod Musim Luruh

Dalam kelas, saya akui, saya kurang sihat kebelakangan ini. Selesema dan sakit tekak datang menyerang tanpa belas dalam luruh daun yang menguning.

Langit muram sering menumpahkan tangis mungkin meratapi hilangnya ria matahari - mungkin itu puncanya selesema ini datang. Atau mungkin ada bakteria yang menumpang singgah.

Pedulikan sebentar. Dalam kelas mungkin ada batuk-batuk saya yang disedari sedang saya menenyeh mata yang tiba-tiba kegatalan.

Saya menoleh, dan seorang wanita kaukasia, berambut sedang paras bahu tersenyum, mengeluarkan kotak tisu daripada beg galasnya, "Do you want tissue?"

"No, thanks." Saya tak pasti sama ada saya sempat tersenyum, atau sempat menunjuk wajah penuh penghargaan.

Saya takut kebaikannya itu, dibalas dengan penolakan yang saya kurang "cermat".

Duhai, bagaimanakah mahu mengejar sinar suria khilafah sedang akhlak khalifah masih belum terbit?