Friday, March 15, 2013

Tempoh Menunggu

Aku terdengar-dengar bahawa Tuhan itu punya cara-Nya yang maha misterius lagi tersendiri dalam mengatur kehidupan manusia. Ya, mungkin ada benarnya. Aku tak tahu.

Apa-apa yang saya tahu ialah: kehidupan ini merunsingkan. Selalu sahaja terjadi apa-apa yang bukan kita ingini, tetapi di akhirnya ia menjadi. Jadi runsing juga jaringan sel neuron saya menebak dan menelah dalam lipatan kehidupan jika punya hikmah yang teselit. Selalunya kejumpaan, tetapi sering sahaja didahului oleh amarah yang tidak berhulu, dek gagal membendung ceteknya akal (dan hati) dalam melihat.

Perihal diriku? Aku ini manusia yang mahukan segera dan disegerakan. Aku jelek beratur dan aku tidak faham mengapa penduduk di negeri atas angin ini rela menunggu dan berbaris hanya untuk hidangan tengah hari di restoran tertentu. Kadang-kadang ada juga yang menggelarku gopoh - tetapi aku janji diriku bukanlah segopoh mana. Cuma, saat dibulatkan azam dan tekad lekas aku bertindak tanpa jauh memikirkan. Kadang-kadang ia menjadi, dan kadang-kadang mengundang rugi. Oleh itu, lekas aku segera menyedapkan hati - setiap manusia ada hak dan rezekinya masing-masing, tidak terkecuali diriku.

Saat inilah aku melihat, Tuhan maha Kuasa, pemilik sekalian alam ini punya rencana yang bijaksana. Ya, aku gopoh. Maka sengaja (ini tebakan aku, maafkan jika salah) dimintanya aku menunggu dan bersabar. Terkadang naik runsing juga dibuatnya. Tetapi, inilah seni menunggu mungkin. Penantian yang bersulam sabar dan tindakan.

Maka atas beberapa siri kejadian, jelas diputuskan tempoh menungguku mungkin sahaja akan berpanjangan - tidak seperti yang kuidamkan atau bayangkan.

Ya, Tuhan mahu aku bersabar mungkin, dan aku percaya Dia punya sesuatu yang lebih baik, atau paling kurang - sama baik - yang direncanakan untukku. Bukankah Allah itu kebanyakan daripada sangkaan hamba-hamba-Nya? Lebih cantik mungkin inilah ujian supaya aku lebih benar dalam tindakanku, dan kata-kataku. Mana mungkin cakap-cakap itu dilepaskan tanpa tuntutan. Maka iman dan taqwa yang aku dakwa diperam dalam hati ini menuntut pembuktian. Maka datanglah ujian Tuhan. Juga aku berharap, ujian itu bermata dua, satu yang lateralnya untuk menguji; dua yang tersiratnya untuk mencuci - dosa-dosa silam yang entah padam atau tidak dalam linang air mataku.

Jadi aku hanya mampu berusaha dalam lingkupku.

Dan terus berusaha.

Sehinggalah saat bahagia dibongkarkan - maka itu akan menjadi pemula untuk usaha baru.