Monday, October 31, 2011

Episod Baru

Maka bermulalah episod baru.

Hehe.

Kenapa buat blog baru? Konon blog lama hebat sangat? Atau blog lama jadi suram? Atau....

Sebenarnya tiada sebab yang spesifik. Eh, ada sebenarnya tapi bukanlah sebab blog ke apa. Saya cuma mahu cari jalan untuk mengekspresikan perasaan saya yang mula berkecamuk dalam jiwa - OK, ini pun tidak.

Sebenarnya saya buat blog baru supaya saya boleh tulis apa yang saya suka. Haha. Dan berharap agar Allah suka juga.

Saya mahu menulis sebab saya suka menulis walaupun tak pandai sangat menulis. Kadang-kadang ada buah fikiran yang mahu dikongsikan tetapi rasa seperti tidak seronok berkongsi di blog sebab tidak mengenai sasaran pembaca. Walaupun kononlah ada orang yang baca tetapi kadang-kadang entri itu mungkin mahu dirahsiakan daripada golongan tertentu (contoh: berkaitan FCR, bukan perasaan) tapi perlu di"sugar-coat"kan. Tak best la kan.

Maka inilah episod baru saya. Kredit buat @hanisah yang mengilhamkan nama ini suatu masa dahulu kala.

insyaAllah :)

Saturday, October 22, 2011

Adiwira!

Saya suka tonton cerita yang ada unsur-unsur superhero.

Superhero adaptasi komik, novel, ataupun memang animasi seperti Aang dalam Avatar, atau Chuck dalam Chuck Series ataupun dalam Star Wars. Selepas saya habis tonton, mesti ada rasa semangat semacam - dan nak jadi super-kool macam mereka - nak ada kuasa, nak tolog orang susah ketika dalam kecemasan... swoosh saya datang membantu.

Kalau ada yang menonton Harry Potter VII The Deathly Hallows Part II, saya teringat babak di mana Harry Potter disambut selepas dia lama menghilang. Dia seolah-olah menjadi messiah untuk puak-puak Hogwarts yang bersembunyi sambil merancang-rancang melawan Death Eaters yang telah merampas Hogwarts.

saya letak gambar ini sebab saya rasa rambut
saya akan jadi begini /:p
[kredit]

Ha, semua nak jadi Harry Potter, nak jadi Aang, nak jadi Chuck, nak jadi Obi Wan Kenobi atau Yoda macam dalam Star Wars. Masalahnya, anda tak boleh! Bukan sebab kita tiada tongkat ajaib atau parut berbentuk kilat. Bukan juga sebab kita tak hidup di Hogwarts belajar ilmu sihir selepas itu boleh jadi Auror nak lawan orang-orang jahat. Bukan juga sebab kita tiada intersect dalam kepala (kalau lah intersect ini boleh letak Al-Quran, dah lama saya akan volunteer jadi intersect. Haha, merepek). Bukan juga sebab kita tak mampu lagi nak bina lightsaber, ataupun...

OK, benda-benda di atas semuanya merepek sahaja sebab memang itupun sebabnya kita tak boleh jadi hero-hero khayalan tajaan barat ini. Kita dilemahkan dari segi pemikiran bahawa itu mengubah sesuatu atau untuk bergerak dengan misi dan visi kita kena jadi hebat, ada kuasa power gitu! Betul ke?

Baiklah, mungkin anda bukan Harry Potter. Tetapi mungkin sahaja anda boleh jadi Dumbledore atau mungkin anda boleh jadi Neville Longbottom. Atau mungkin anda ialah budak yang tak pernah disebutkan namanya oleh JK Rowling, hanyalah budak Hogwart yang naik tangga berselisih dengan Harry Potter tetapi turut melawan Death Eaters.

Tak kisahlah siapa kita sebenarnya kita ialah superhero - kalau kena caranya. 

Lihatlah dunia, lihatlah kepincangannya. Apakah peranan kita? Sebagai seorang muslim, kita mengucap kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu, berpuasa, membayar zakat dan lain-lain rukun islam dan rukun iman macam mana yang kita hafal sewaktu sekolah rendah. Adakah terhad di situ?

Belum. Belum cukup lagi, mari jadi super muslim. Tak payah nak terima cincin dan lantern macam dalam Green Lantern - cukuplah buat apa?

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik (3:110)
[kredit]

Hah. Ini hebat Allah yang nak bagi. Allah pilih dalam kalangan manusia , umat Muhammad untuk jadi yang terbaik, untuk jadi yang superhero - tetapi dengan dua syarat utama mana-mana superhero kena buat : Berbuat perkara baik atau bahasa orang alimnya amal makruf dan mencegah perkara yang salah atau nahi munkar.

Tetapi ada lagi satu bonus yang hero-hero khayalan tak buat tetapi Allah bagi sebagai satu syarat untuk jadi super muslim - beriman kepada Allah. Yang super duper ultra ultimate super lagi Hero sudah tentulah junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang kita tiru dan ikut.

Senjata kita? Doalah. Tetapi janganlah sebab ini Nabi Muhammad sabdakan, kita pun ambil mudah semua perkara. Bila tentera Israel dah boleh hasilkan macam-macam senjata, teknologi militari yang hebat kita pun berpeluk tubuh, "Takpe, umat Islam ada doa sebagai senjata". 

Sebab itu super-super hero yang ada ini perlu bijak merancang, yang pandai. Tetapi tak semualah boleh jadi Harry Potter nak bunuh Voldemort, perlu ada tokoh seperti Prof Dumbledore dan Prof McGonagall untuk memastikan perangcangan rapi terlaksana. Malah, spy seperti Prof. Snape pun perlu. Tetapi motivasi kita harus sama - iaitu kerana Allah. 

Tetapi bukan semua manusia dilahirkan dengan potensi yang sama. Benar. Sebab itu, jika kita hanya mampu menjadi budak yang asalnya menggigil di tepi tangga Hogwart tetapi turut turun melawan pun sudah cukup baik. Apa syaratnya tadi? Menyuruh kepada kebaikan, mencegah daripada perkara buruk, dan beriman kepada Allah. Penuhilah syarat-syarat ini - maka bersuperherolah kita.

Terkadang kita mengeluh kerana kita tak sehebat orang lain, dan itu membuatkan kita malas berusaha. Ah, persetankan semua itu. Cuba ingat kisah burung pipit. Saya tak tahu bagaimana jalan periwayatannya tetapi ia memberi iktibar kepada kita bagaimana seekor burung pipit yang kecil berusaha untuk terbang berulang alik mendekati api marak yang membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim AS. Perbuatan burung itu ditegur oleh burung yang lebih besar, "Haramjadah apalah yang kausibukkan, aku yang besar ini pun tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi engkau."

Kalau kita yang tahu kisah Nabi Ibrahim inipun kita tahu yang Allah memerintahkan api untuk menjadi sejuk. Jadi memang perbuatan burung pipit itu sia-sia. Hampeh, habuk pun tarak.

Tetapi tidak di sisi Allah. Apa jawapan burung pipit tadi? "Aku tahu usahaku mungkin sia-sia, tetapi sekurang-kurangnya apabila Allah bertanyakan kepadaku kelak apa yang aku perbuat sewaktu Nabi Ibrahim dibakar, aku boleh menjawab kepadanya,"

Oleh itu, kita fikirkan, mungkin usaha kita untuk agama Allah tidak terlihatpun sinarnya walau sekelumit di zaman kita - tetapi kita wajib yakin dengan janji Allah - maka kita akan tahu walaupun bukanlah di tangan kita Islam itu tertegak, tetapi usaha yang kita buat pasti akan dinilai di sisi Allah kelak.

(Nota samping: Walaupun usaha boikot McD atau barangan Israel memang nampak seperti tidak membantu perjuangan saudara seakidah kita di Palestin, tetapi pasti Allah akan kira nilainya , insyaAllah.)

Jadi, bagaimana? Mahu sahut cabaran Allah untuk jadi superHamba-Nya dan menyertai perjuangan ini?

"With Greater Power, comes greater responsibility" (pakcik Peter Parker a.k.a Spiderman)

Tuesday, October 11, 2011

Fitnah Sains

"Manusia daripada beruk? Bukan itu sahaja, malah teori Darwin menunjukkan bahawa manusia itu daripada ikan - dan jauh lebih ke belakang, daripada satu sel singular," Pensyarah Psikologi saya di INTI mengatur bicaranya dalam kelas.

Pisang mempunyai struktur DNA yang 90% hampir sama dengan manusia, jadi adakah kita daripada pisang juga?


Beliau - dan ramai lagi percaya bahawa Sains telah membawa kita ke satu tahap yang baru, Yang kita tak perlukan panduan daripada mana-mana skriptur. Yang kita hebat sangat sehingga mampu memahami minda Tuhan - seperti yang dilontarkan oleh Stephen Hawking.

Sains jadi satu kayu ukur baharu. Homoseksual jadi benar kerana menurut sains, mamalia hanya mengawan dengan berlainan jantina pada musim mengawan sahaja. Pada waktu lain, mereka main sambar sahaja.Jadilah homoseksualiti sebagai natural selection, dan dibenarkan kerana sains membuktikan ia sebahagian daripada alam. Faktor genetik yang tidak konklusif turut diheret sama untuk membenarkan homseksualiti. Apakah kayu ukurnya? Sains.

Saya pernah duduk mendengar perdebatan antara seorang pendakyah kristian di Universiti saya sekarang bersama dua orang anak muda yang satu, mengaku tiada Tuhan, aktivis dakwah/dakyah ialah satu pencabulan terhadap privasi dan yang lain mengaku bahawa ada Tuhan tetapi aktiviti dakwah/dakyah ialah sesuatu yang mengganggu. Mereka menulis di atas kertas kajang, "Yes, I am going to Hell."

Perdebatan itu lama berlaku, dan saya perhatikan - sains jadi kayu ukurnya. Kenapa ia benar? Sebab sains kata begitu. Kenapa ia salah? Kerana sains kata begitu. Segala-galanya dipatahkan dengan sains. 

Sains, sains, sains.

Saya tidak mahu berkomentar terhadap agama lain, fokus saya di sini cuma Islam. Dalam Islam, kita dikurniakan Al-Quran sebagai panduan. Di dalam Al-Quran yang tinggi mutu bahasanya Allah selitkan dengan fakta-fakta yang menakjubkan mengenai Al-Quran. Walau bagaimana pun Al-Quran bukanlah buku sains yang mutlak yang menceritakan secara terperinci seperti apa yang berlaku dalam kitaran Karbon (carbon cycle) atau bagaimana hendak mengira darjah eliptikal planet Zuhal. Cukuplah Allah menyelitkan ilmu-ilmu yang kita perlu kaji, dan apabila kita mengetahui kebenaran Al-Quran dan keselariannya dengan ilmu dan kajian kita yang menggunakan teknologi lengkap, kita tenggelam dalam kekaguman.

Mustahil seorang lelaki dari lembah tandus Arabia 1400 tahun lampau mampu menulis karangan dengan fakta-fakta sains seperti embriologi (rujuk 23:14); Teori Letupan Besar the Big Bang Theory (rujuk Al-anbiyaa' 21:30); dan bermacam-macam lagi fakta yang ada.


Fakta-fakta mengenai alam ini diolah oleh pencipta alam itu sendiri, Allah SWT. Oleh kerana ini, ia membuktikan bahawa Al-Quran itu sendiri daripada Allah.

Prof. Zaglul An-Najari, seorang pakar kaji bumi Mesir, dalam bual bicaranya Cahaya atas Cahaya (yang dibukukan kemudiannya) ada mengatakan bahawa di zaman Nabi Isa AS, Allah mengurniakan kebolehan merawat sopak dan buta sebagai satu bukti bahawa Isa AS itu utusan Allah. Maka selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, kita tidak dapat melihat mukjizat secara langsung daripada Muhammad SAW, oleh itu Al-Quran diwahyukan sebagai satu mukjizat kebenaran Allah. Bahasanya sendiri terlalu agung untuk ditiru oleh mana-mana penyair-penyair terkemuka arab zaman itu. Dan kini, fakta-fakta sains dalam Al-Quran mendamping masyarakat moden sebagai satu faktor mukjizat - untuk menambah keyakinan kita terhadap Allah. 

Benarlah, Al-Quran itu buku petanda (book of Signs) yang alam ini menjadi saksinya, dan hanya minda yang sihat dan hati yang lentur dengan hidayah mampu menafsirnya.

Matahari juga berputar pada paksi dan bergerak dalam orbitnya
Rujuk Al-Quran 21:30
Sains hanya alat yang membantu kita untuk membuktikan kebenaran al-Quran. Bagaimana jika ada kenyataan Al-Quran yang bertentangan dengan sains?

Kita harus jelas, bahawa sebagai seorang muslim, kita harus menerima Al-Quran dan menganggapnya sebagai 100% benar tanpa  sebarang kontradiksi dan kekurangan.

Oleh itu, jika ada kekurangan kita harus beriman bahawa dengan pemahaman dan teknologi yang kita ada, kita masih belum mampu untuk memahaminya. Sebagai contoh dalam Al-Quran yang mengatakan bahawa seluruh alam bertasbih kepada Allah - dalam cara apa? Sains tidak dapat membuktikannya lagi. Adakah ini bermakna Al-Quran itu salah?

Tidak sama sekali! Sains ialah satu ilmu dinamik yang sekian hari ada sahaja perkembangan dan pembaharuan terhadapnya.

Dahulu tiada siapa menyangka yang kerak bumi bergerak, sehingga apabila Alfred Wagner mengemukakan teori Hanyutan Benua (Continental Drift) sekian komuniti geosaintis waktu itu menggelakkannya. Tetapi beberapa tahun selepas kematian Alfred Wagner, perkara itu terbukti benar (Al-Quran juga telah mengisyaratkannya 1350 tahun awal, rujuk surah At-Tariq, 86 : 11-12)


Kita harus ingat bahawa sains hanyalah alat yang membantu untuk menerangkan. Ia bukanlah perkara mutlak kerana yang mengkajinya ialah manusia itu sendiri. Dahulu Albert Einstein pun menyangka bahawa alam semesta ini statik sehingga terbukti melalui kiraan sinaran radioaktif bahawa alam ini berkembang.

Sains hanya alat, bukan matlamat. Sains membantu kita percaya, bukan sebab untuk kita percaya. 

Tetapi, salahkan untuk belajar sains untuk menyampaikan kebenaran Al-Quran? Ayuh kita contohi kisah Nabi Allah Ibrahim AS,

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (2:260)


Sedangkan Nabi Allah pun mahu bertambah yakin,apatah lagi kita manusia biasa yang iman hanyalah senipis kulit bawang. Jadi tidak salah untuk mengkaji alam, dan mempelajari sains asal sahaja sains itu tidak diangkat sebagai kayu ukur mutlak - sehingga mencerobohi batasan moral dan etika yang Allah anjurkan melalui Rasulullah SAW dan Al-Quran pemberian-Nya.

Malah golongan yang berfikir dan mengkaji Alam ciptaan Allah SWT ini juga dianjurkan oleh Al-Quran sendiri, diangkat statusnya sebagai ulul Albab.

Sebagai mengakhiri, dan juga untuk menyokong kajian terhadap sains yang tidak gelojoh dan dibuat atas bumi keimanan

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (3:190)