Tuesday, October 11, 2011

Fitnah Sains

"Manusia daripada beruk? Bukan itu sahaja, malah teori Darwin menunjukkan bahawa manusia itu daripada ikan - dan jauh lebih ke belakang, daripada satu sel singular," Pensyarah Psikologi saya di INTI mengatur bicaranya dalam kelas.

Pisang mempunyai struktur DNA yang 90% hampir sama dengan manusia, jadi adakah kita daripada pisang juga?


Beliau - dan ramai lagi percaya bahawa Sains telah membawa kita ke satu tahap yang baru, Yang kita tak perlukan panduan daripada mana-mana skriptur. Yang kita hebat sangat sehingga mampu memahami minda Tuhan - seperti yang dilontarkan oleh Stephen Hawking.

Sains jadi satu kayu ukur baharu. Homoseksual jadi benar kerana menurut sains, mamalia hanya mengawan dengan berlainan jantina pada musim mengawan sahaja. Pada waktu lain, mereka main sambar sahaja.Jadilah homoseksualiti sebagai natural selection, dan dibenarkan kerana sains membuktikan ia sebahagian daripada alam. Faktor genetik yang tidak konklusif turut diheret sama untuk membenarkan homseksualiti. Apakah kayu ukurnya? Sains.

Saya pernah duduk mendengar perdebatan antara seorang pendakyah kristian di Universiti saya sekarang bersama dua orang anak muda yang satu, mengaku tiada Tuhan, aktivis dakwah/dakyah ialah satu pencabulan terhadap privasi dan yang lain mengaku bahawa ada Tuhan tetapi aktiviti dakwah/dakyah ialah sesuatu yang mengganggu. Mereka menulis di atas kertas kajang, "Yes, I am going to Hell."

Perdebatan itu lama berlaku, dan saya perhatikan - sains jadi kayu ukurnya. Kenapa ia benar? Sebab sains kata begitu. Kenapa ia salah? Kerana sains kata begitu. Segala-galanya dipatahkan dengan sains. 

Sains, sains, sains.

Saya tidak mahu berkomentar terhadap agama lain, fokus saya di sini cuma Islam. Dalam Islam, kita dikurniakan Al-Quran sebagai panduan. Di dalam Al-Quran yang tinggi mutu bahasanya Allah selitkan dengan fakta-fakta yang menakjubkan mengenai Al-Quran. Walau bagaimana pun Al-Quran bukanlah buku sains yang mutlak yang menceritakan secara terperinci seperti apa yang berlaku dalam kitaran Karbon (carbon cycle) atau bagaimana hendak mengira darjah eliptikal planet Zuhal. Cukuplah Allah menyelitkan ilmu-ilmu yang kita perlu kaji, dan apabila kita mengetahui kebenaran Al-Quran dan keselariannya dengan ilmu dan kajian kita yang menggunakan teknologi lengkap, kita tenggelam dalam kekaguman.

Mustahil seorang lelaki dari lembah tandus Arabia 1400 tahun lampau mampu menulis karangan dengan fakta-fakta sains seperti embriologi (rujuk 23:14); Teori Letupan Besar the Big Bang Theory (rujuk Al-anbiyaa' 21:30); dan bermacam-macam lagi fakta yang ada.


Fakta-fakta mengenai alam ini diolah oleh pencipta alam itu sendiri, Allah SWT. Oleh kerana ini, ia membuktikan bahawa Al-Quran itu sendiri daripada Allah.

Prof. Zaglul An-Najari, seorang pakar kaji bumi Mesir, dalam bual bicaranya Cahaya atas Cahaya (yang dibukukan kemudiannya) ada mengatakan bahawa di zaman Nabi Isa AS, Allah mengurniakan kebolehan merawat sopak dan buta sebagai satu bukti bahawa Isa AS itu utusan Allah. Maka selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, kita tidak dapat melihat mukjizat secara langsung daripada Muhammad SAW, oleh itu Al-Quran diwahyukan sebagai satu mukjizat kebenaran Allah. Bahasanya sendiri terlalu agung untuk ditiru oleh mana-mana penyair-penyair terkemuka arab zaman itu. Dan kini, fakta-fakta sains dalam Al-Quran mendamping masyarakat moden sebagai satu faktor mukjizat - untuk menambah keyakinan kita terhadap Allah. 

Benarlah, Al-Quran itu buku petanda (book of Signs) yang alam ini menjadi saksinya, dan hanya minda yang sihat dan hati yang lentur dengan hidayah mampu menafsirnya.

Matahari juga berputar pada paksi dan bergerak dalam orbitnya
Rujuk Al-Quran 21:30
Sains hanya alat yang membantu kita untuk membuktikan kebenaran al-Quran. Bagaimana jika ada kenyataan Al-Quran yang bertentangan dengan sains?

Kita harus jelas, bahawa sebagai seorang muslim, kita harus menerima Al-Quran dan menganggapnya sebagai 100% benar tanpa  sebarang kontradiksi dan kekurangan.

Oleh itu, jika ada kekurangan kita harus beriman bahawa dengan pemahaman dan teknologi yang kita ada, kita masih belum mampu untuk memahaminya. Sebagai contoh dalam Al-Quran yang mengatakan bahawa seluruh alam bertasbih kepada Allah - dalam cara apa? Sains tidak dapat membuktikannya lagi. Adakah ini bermakna Al-Quran itu salah?

Tidak sama sekali! Sains ialah satu ilmu dinamik yang sekian hari ada sahaja perkembangan dan pembaharuan terhadapnya.

Dahulu tiada siapa menyangka yang kerak bumi bergerak, sehingga apabila Alfred Wagner mengemukakan teori Hanyutan Benua (Continental Drift) sekian komuniti geosaintis waktu itu menggelakkannya. Tetapi beberapa tahun selepas kematian Alfred Wagner, perkara itu terbukti benar (Al-Quran juga telah mengisyaratkannya 1350 tahun awal, rujuk surah At-Tariq, 86 : 11-12)


Kita harus ingat bahawa sains hanyalah alat yang membantu untuk menerangkan. Ia bukanlah perkara mutlak kerana yang mengkajinya ialah manusia itu sendiri. Dahulu Albert Einstein pun menyangka bahawa alam semesta ini statik sehingga terbukti melalui kiraan sinaran radioaktif bahawa alam ini berkembang.

Sains hanya alat, bukan matlamat. Sains membantu kita percaya, bukan sebab untuk kita percaya. 

Tetapi, salahkan untuk belajar sains untuk menyampaikan kebenaran Al-Quran? Ayuh kita contohi kisah Nabi Allah Ibrahim AS,

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (2:260)


Sedangkan Nabi Allah pun mahu bertambah yakin,apatah lagi kita manusia biasa yang iman hanyalah senipis kulit bawang. Jadi tidak salah untuk mengkaji alam, dan mempelajari sains asal sahaja sains itu tidak diangkat sebagai kayu ukur mutlak - sehingga mencerobohi batasan moral dan etika yang Allah anjurkan melalui Rasulullah SAW dan Al-Quran pemberian-Nya.

Malah golongan yang berfikir dan mengkaji Alam ciptaan Allah SWT ini juga dianjurkan oleh Al-Quran sendiri, diangkat statusnya sebagai ulul Albab.

Sebagai mengakhiri, dan juga untuk menyokong kajian terhadap sains yang tidak gelojoh dan dibuat atas bumi keimanan

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (3:190)

3 comments:

  1. best one yet

    makin banyak kajian dibuat,makin banyak sebenarnya pendedahan yang boleh disaksikan,tetapi semua ini dilindung oleh ego manusia sendiri.

    evolusionis sendiri dah ramai yang tahu apa yang diorang pegang selama ni salah,tapi sebab ego, meeka turutkan juga apa yang dah diturunkan si darwin tu.

    yang kita perlu bimbang bukan mason,bukan illuminati tapi saintis.

    ReplyDelete
  2. speechless. sangat bagus syazwan, thumbs up!

    sangat suka ayat ni
    "Sains membantu kita percaya, bukan sebab untuk kita percaya."

    disebabkan kekurangan fakta-fakta sains, maka akak nak share pasal al-Quran dr segi bahasa je, hehe.
    al-Quran adalah model gaya bahasa yang paling tinggi untuk arab fushaa (arab formal), dan disebabkan al-Quran lah kita masih belajar case endings (baris atas, bawah, depan) sebab hanya Quran yang mementingkan case endings ni, org Arab tak bother pun pasal baris atas bawah ni. Halus kan bahasa al-Quran tu? masyaAllah.

    okay, itu apa yg akak belajar hari ni dlm kelas arab td. mcm biasa, info malam ini. hehe. :)

    wallahualam..

    ReplyDelete
  3. @raj: kebimbangan anda dikongsi bersama.

    @kak ami: hehe. orang nak video la kak. bukan post2 kat blog orang :p

    ReplyDelete