Sunday, January 8, 2012

Langit Merah San Francisco

Langit merah San Francisco mengundang rasa rendah diri dalam jiwa setiap hamba. Fazlee berjalan laju dalam kota bergermelapan dengan cahaya neon dan kalimantang itu. Tangannya dimasukkan ke dalam saku baju sejuknya. Dia berjalan lurus, melintasi jalan raya yang sibuk, kereta demi kereta tiba.
Dia melintasi Ellis St dan di kirinya kelihatan insan-insan berjiwa barat yang panjang beratur untuk menghadiri parti pada malam penuh gemilang itu.

Malam tahun baru.

Dia berjalan lurus lagi, sehingga tiba di hadapan Hotel Essex, insan-insan di sekelilingnya kelihatan sibuk, atau mereka yang mahu dilihat begitu. Wanita-wanita ada yang tegar berskirt singkat walaupun malam itu suhu serendah 12 darjah Celsius. Begitulah manusia - dibulatkan azam, semuanya mereka sanggup.

Fazlee menggelengkan kepala.asap keluar dari mulutnya apabila terbatuk gara-gara seorang lelaki kulit hitam, hampir tidak sedar, meniupkan asap rokok ke wajahnya.
Dia mengurut-urut dadanya dan meneruskan perjalanannya. Mahu ke mana dia? Jujur, dia sendiri tidak mengetahui. Dalam konteks itu, manusia-manusia barat di sekelilingnya mungkin jauh lebih baik - mereka bertuju, walau apa pun tujuannya.

Fazlee tersenyum sendiri, lalu membetulkan kolar baju sejuknya. Dia memperlahankan rentaknya. Mencongak ke langit.

Malam tahun baru dan dia di San Francisco - kota pertemuan dan pertembungan budaya. Bergaul menjadi satu.

45 minit berbaki sebelum langit merah San Francisco merangkul mesra tahun baru. Bau pizza yang mengapung di udara sejuk San Francisco, mengundang pula rasa lapar. Dia abaikan rasa lapar itu kerana baru tiga jam lepas dia usai makan di Bang San, restoran thai halal di San Francisco.
Makan banyak mengudang risiko yang banyak. Malam tahun baru, tidak mahu pula Fazlee mengundang penyakit baru.

Fazlee memilih untuk menyertai lautan manusia yang berduyun-duyun menuju ke Piers 39, tempat pertunjukan bunga api bakal ditunjukkan. 15 minit berbaki, dengan berjalan kaki - Fazlee menggelengkan kepala. I won't make it at time.

Dia berdiri dalam sejuk iklim kota seni itu. Mencongak ke langit, dilihatnya berambal-ambal awan malam, yang sebenarnya punya dan punca langit merah - Fazlee kini punya tuju, tapi tidak punya cara.

Kredit


Keluhan berat dilepaskan. Iklim sejuk kejam pula mencucuk-cucuk susuk khatulistiwa tropikal sepertinya lantas angin pula berperan merejam partikel-partikel udara ke kulitnya. Fazlee menggigil.
Dia menoleh ke kanan. Bangunan lama berdiri tegak seolah menyapanya, memanggil-manggil lelaki melayu itu. Bangunan parkir kereta seperti itu sangat banyak di San Francisco. Kota pelancongan yang mempunyai trem untuk bersiar-siar memberi opsyen kepada pelancong. Apatah lagi berjalan-jalan di persiaran pelabuhan melihat pelbagai usaha manusia menyara kehidupan dengan sesuatu yang mereka namakan seni menjadi satu tarikan utama. Bagi yang memandu kereta, tempat parkir ialah suatu kemudahan, walau harga yang perlu dibayar hakikatnya ialah satu manipulasi.

Bangunan putih lama itu masih menatap Fazlee. Fazlee terasa seolah-olah tatapan bangunan itu mengalu-alukannya. Tiada sesiapa yang menjaganya walaupun meletak kereta di situ memerlukan bayaran. Fazlee kagum dengan tahap integriti manusia barat. Betapa percayanya mereka pada nilai-nilai manusiawi. Mungkin kerana itulah ideologi humanisme boleh dijulang di negara barat.
Ah manusia. Sisi jahatnya kadang-kadang lahir tanpa dia sendiri rasai. Atau kadang-kadang dirasakan baik tetapi akal cetek manusia itu sudah pasti tidak mampu menilai segalanya. Itu batasan manusia. Kerana itu manusia itu harus berhati-hati dalam menutur langkah. Kerana itu manusia perlukan panduan.

Fazlee memasuki bangunan parkir itu. Mujur, elevator tak jauh dari tempat masuk. Walau berbau tengik sedikit, Fazlee endahkan.

Butang 7 ditekan. Elevator itu bergerak perlahan ke atas, sesekali terdengar bunyi tali keluli elevator berkeriut. Dan setiap kali ia berlaku, Fazlee menelan air liur sambil melihat nombor tingkat yang tertera di skrin atas pintu elevator.

Tingkat 7, pintu lif terbuka, angin sejuk meluru masuk. Fazlee menggigil.

Di bahagian bumbung bangunan, tersingkaplah kepada Fazlee pemandangan malam San Francisco. Terasa Fazlee seolah-olah bangunan usang itu tersenyum padanya.

[kredit]


Bertepatan dengan itu, das demi das bunga api memecahkan kesepian langit merah San Francisco.

Merah.
Biru.
Kuning.
Warna-warni. Warna manusia. Warna San Francisco.

Nun di timur San Francisco Bay, dari utara, kemaraan kabus tebal dari laut seolah-olah menjadi pemburu senyap yang menghendap mangsanya di sebalik lalang.

Fazlee tersenyum. Manusia, kadang-kadang terlalu asyik dengan kemeriahan ciptaannya sendiri sehingga terlupa ada yang lagi hebat menanti.

Asap tebal keluar daripada mulur Fazlee saat keluhan berat dilepaskan. Sekali lagi angin sejuk bertiup dalam damai langit merah San Francisco.

No comments:

Post a Comment