Saturday, March 31, 2012

Hanya Pinjaman

"Allah..." Syafiq meletakkan gagang telefon. Ummi yang di dapur peka memasang telinga. Keluhan anaknya itu membebankan jiwa ibunya. Ummi terus menggoreng cekodok pisang kegemaran Syafiq, asap naik berambal dan menyelinap keluar dari gerigi-gerigi tingkap. Bau harum mengapung di seluruh rumah. 

"Ummi, sedapnya bau!" Syafiq menerpa di muka pintu. 

"Allah, terkejut Ummi. Ha, macam mana? Apa kata mak ayah Husna?" Ummi berhenti menggoreng, lalu dia mengambil kain hijau bercorak kotak-kotak dan mengelap tangannya. Tangan ummi cekap mengalihkan cekodok yang molek rangup ke pinggan lain. "Syafiq?"

"Husna sudah ada pilihan," Syafiq bersuara perlahan dan menerpa ibunya. Dia merangkul tangan kecil ibunya, dan mencium belakang tangan ummi. Ummi membiarkan sahaja, dan kedengaran suara ayah daripada halaman.

"Ummi, ini walid bawa balik roti john," Walid masuk ke dapur, hanya untuk melihat wajah ummi yang bening itu, bergenang dengan air mata. Wajah walid serta merta berubah.

"Abang, Husna ada pilihan lain... jadi..." Ummi memecah sunyi yang tiba-tiba menerpa isi rumah itu. Syafiq memberikan isyarat mata kepada ayahnya, tanpa disedari oleh Ummi.

***

Syafiq duduk di katilnya. "Allah, tabahkan hatiku. Sesungguhnya, Engkaulah pemilik hati-hati," Syafiq berdoa dalam hati. Syafiq membaringkan dirinya di atas lambung kanan, menghadap ke dinding. Panas malam ini, fikir Syafiq. Dua-tiga hari pertama, Syafiq jatuh demam dek badannya terkejut menerima perubahan cuaca. Maklumlah, 4 tahun di UK, Syafiq tidak pernah balik. Hanya tahun ketiga dia ke Mekah menunaikan umrah. Di  sana, Syafiq berjumpa keluarganya yang memang merancang ke sana. Syafiq tersenyum. Keluarganyalah hartanya. Tetapi seperti mana harta manusia lain, semuanya pinjaman Allah. Yang Allah akan tarik pada masa dan kadar-Nya. Begitu juga Syafiq. Hidup dan jasadnya ialah pinjaman Allah - yang akan dinilai kelak.

Syafiq mengatup mata, beristighfar. Memohon keampunan andai pinjaman ini disalahgunakan. Sebelum tidur, dia bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33 kali diikuti tahlil sebanyak 34 kali. Itu ajaran Rasulullah SAW untuk puterinya yang menurut baginda lebih baik daripada Khadam. Moga Allah permudahkan urusannya - dalam waktu genting ini.

***

Ummi memikir panjang. Walid menghabiskan bacaannya dan meletakkan cermin matanya di meja sisi katil lalu memandang Ummi, "Apa yang Ummi fikirkan? Belum mahu tidur?" Ummi masih diam. Entahkan dengar entahkan tidak. Otaknya runsing dengan perangai Syafiq kebelakangan ini. Kerap benar bersalam mencium tangannya. 

Dahulu Ummi masih ingat. Balik sahaja peperiksaan besar, Syafiq akan bersalaman dan mencium tangannya. Agak lama. Bukan seperti bersalaman sebelum meninggalkan rumah. Apabila ditanya, Syafiq jawab mahu berkat ibunya,  Agar ibunya sentiasa mendoakan. Kadangkala, Syafiq bergurau - tangan wanita mana lagi yang mahu digenggam dan diciumi? Hanya ibunya yang halal.

Syafiq. Permata Ummi. Allah maha Mengetahui. Pasangan Syed Alwi dan Rabi'ah itu hanya dikurniakan seorang anak. Syed Muhammad Syafiq. Syafiq kecilnya agak nakal walaupun tidak dinafikan otaknya bergeliga. Peralihan berlaku apabila Syafiq memasuk sekolah menengah. Lagaknya lebih teratur, susun katanya lebih berhikmah. 

Apabila Syafiq membuat keputusan untuk ke luar negara, Ummilah yang paling sebak menangis. Maklumlah anak seorang - tetapi Ummi harus belajar melepaskan. Ummi belajar berserah kepada Allah - kerana Syafiq pernah berkata kepada Ummi sebelum berlepas ke UK "Ummi, Syafiq ini hanya pinjaman. Bila-bila masa Allah boleh minta balik. Ummi izinkanlah dan restukanlah Syafiq ke luar negara agar pinjaman ini Ummi dapat manfaatkan - supaya Ummi dan Syafiq, dan Walid, kita semua bertemu di syurga," Tambah teresak-esak Ummi waktu itu. Benarlah anaknya sudah dewasa. Dia teringat lagi pesan Syafiq, "Ummi, ibu-ibu di Palestin mereka wakafkan anak-anak mereka untuk jihad. Ummi nak wakafkan anak Ummi ini tak?"

Butir-butir air mata Ummi mula kelihatan. Cepat-cepat Ummi menyeka, tidak mahu Walid perasan. Tetapi seorang suami, yang 28 tahun bersamanya sudah cukup masak bila isteri kesayangannya murah durja. Walid menyisir rambut Ummi. "Ummi, tidurlah. InsyaAllah. Syafiq di bawah pemeliharaan Allah sentiasa." Walid memadamkan lampu.

Bersambung 

No comments:

Post a Comment