Belum apa-apa lagi, sudah merindui Malaysia dan manusia-manusia yang berada di dalamnya
Rindu itu selalu dicetus pada kesusahan-kesusahan yang saya alami di rantau orang ini.
Saya kalau boleh, tidak mahu menulis kesusahan-kesusahan yang saya alami.
Pertamanya blog ini bukan diari.
Keduanya tidak mahu bagi ibu dan ayah risau.
Tetapi sentiasa ada hikmah dalam kesusahan, ada kemudahan yang terselit - janji Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6.
***
Cuti musim panas merupakan cuti yang terbaik bagi saya. Alhamdulillah saya dikurniakan dengan keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong. Walaupun agak kalut sedikit dalam menguruskan masa, tetapi alhamdulillah itu pengalaman yang sentiasa dikenang.
Menghubungkan silaturrahim, menuntut ilmu, menyucikan jiwa (tazkiyyatun nafs) dan juga bertaruh budi di jalan dakwah menjadi misi utama saya dan rakan-rakan sewaktu cuti ini. Moga Allah terima, dijauhkan dari penyakit hati yang menjadi penyebab amalan tertolak!
Juga al fatihah untuk ayahanda sahabat baik saya, Hatta Shafri, yang telah pergi menemui Allah.
Tetapi pasti ada pengakhirannya, 101 hari selepas menyantuni Malaysia akhirnya tiba masa untuk pulang.
Malam sebelum perjalanan, saya berdoa sebelum tidur agar Allah menemukan hikmah dalam perjalanan ini.
Kenapa? Kerana perjalanan ini sememangnya memenatkan dari Kuala Lumpur ke Los Angeles kemudian ke New York. Saya terpaksa transit di LA selama dua hari atas kesilapan saya menempah tiket.
***
Perjalanan bermula dengan kebaikan, alhamdulillah, apabila saya duduk di sebelah seorang sami tibet daripada Amerika. Setelah berkenalan, beliau, Dr. Barry Kenzin merupakan seorang yahudi dan kini menjadi doktor peribadi bagi Dalai Lama - satu fakta yang didedahkan lewat pertemuan kami.
Banyak yang saya pelajari, dan sedikit perbincangan kami mengenai Tuhan dan kosmologi, juga Malaysia serta situasi politik di Amerika (Dr Barry merupakan penyokong kuat Obama -
at least a more viable candidate than Mitt Romney)
|
Let's Share Islam with the world! |
Di akhir pertemuan saya sempat menghadiahkan beliau senaskhah terjemahan al-Quran berbahasa inggeris.
Antara nasihat yang diberikan ialah - kita hari ini terlalu memfokuskan aspek politik, ekonomi dalam agama sehingga kita lupa apa yang paling penting - iaitu hati. Memang tidak dapat dinafikan sekularisme yang melanda umat islam hari ini menjadikan kita fokus kepada aspek ritual islam sahaja tetapi cubaan untuk mensyumulkan islam juga terkadang menjadikan kita alpa dengan asas insani iaitu untuk mendidik hati. Perubahan yang dilakukan atas nama islam haruslah bersifat
inside out untuk menjadikannya
sustainable.
Bermula dengan akidah, kemudian bercabang kepada ranting-ranting islam yang lain.
Duhai, moga kita tidak menjadi fitnah kepada agama Allah yang suci ini!
***
Dua hari saya di LA asalnya ingin bergaul dengan penduduk islam tempatan. Saya telah menghubungi beberapa masjid melalui email tetapi malangnya tidak berbalas. Itu perancangan satu yang Allah tidak izinkan.
Kemudiannya, dua minggu sebelum saya berangkat pulang, telefon bimbit saya hilang pula - ber'tukar' hak milik sewaktu iktikaf di Masjid Negeri Shah Alam. Maka itu menjadikan urusan saya di LA amat sukar. Setelah tidak mendapat balasan daripada Islamic Societies di LA maka saya membut keputusan untuk tidur di hotel pada malam pertama dan tidur di LAX pada malam keduanya.
Tetapi, sekali lagi Allah tidak izinkan kerana demam selesema yang melanda saya sejak 2 jam sebelum tiba di transit di Narita tidak sembuh lagi maka sekali lagi duit terpaksa dikeluarkan untuk menempah hotel pada saat-saat akhir.
Berita baiknya, dengan berada di hotel saya lebih produktif. Daripada melayan rancangan TV entah apa-apa saya melunaskan tanggungjawab saya. Saya siapkan sebahagian skrip projek Komik Dakwah, update blog yang sekian lama membisu, menghafaz dan mengulang al Quran juga mengerjakan tugas saya sebagai seorang hamba kepada Tuhan sekalian Manusia. Moga Allah terima semuanya.
Segala kesusahan ini sebenarnya membuatkan saya berfikir sebenarnya. Bahawa apa yang digagaskan dalam Islam tidak akan membuatkan seseorang itu berputus asa, walau dalam apa keadaan sekalipun!
Status-status facebook saya mencerminkan apa yang bermain di minda saya!
selalunya apa-apa yang kita rancang, boleh sahaja tak menjadi, kerana urusan itu milik Allah jua. Berlapang dadalah, dan kuatkan usaha dan tawakkal agar segalanya, membuah hikmah - Biar ia jadi kifarah penebus dosa dan pengalaman penguat jiwa. Mana-manapun ia, pasti baik untuk anda! Allahul musta'an :)
Doa itu senjata bukanlah pada tajamnya, bukan juga pada jaminan tertunainya doa. Tetapi pada harapan yang diberikan - pada penggantungan terhadap Dzat yang tidak pernah berkurang, Maha Kaya, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Doa itu tidak pernah berkurang walau bukan untuk diri"Diriwayatkan dari Abu Darda’ ra., bahwasanya ia berkata, “Apabila seorang Muslim men
do’akan saudaranya tanpa sepengetahuannya, maka pasti malaikat yang ditugaskan (kepadanya) akan mengucapkan, “Engkaupun akan mendapatkan yang semisalnya”. (HR. Muslim) "
Doa juga satu kekuatan, untuk mereka yang cenderung berada dalam kesusahan:
Dari Abu Hurairah ra., ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga do’a mustajab yang tidak diragukan lagi, yaitu do’a orang yang teraniaya, do’a musafir, dan do,a orang tua untuk anaknya” (HR. Tirmidzi, dll. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Maka berdoalah! Engkau tidak akan rugi, kerana jika ikhlas meminta, ganjaran di Akhirat pasti diberi!
Wallahua'lam.
Sungguh semoga jihad kali ini menjadi lebih bermakna, untuk saya, agama dan keluarga.
Dan sungguh saya merindukan Malaysia dan manusia yang berada di dalamnya. Allahulmusta'an!
Moga rindu ini jadi doa untuk kebaikan semua. Ana uhibbukumuLLAH!