Thursday, December 20, 2012

Ibu Berkisah.

Cerita ini Ibu kisahkan, tidak lama dahulu - mungkin sebelum terlepas terbang ke bumi penuh peluang ini. Atau mungkin lagi awal.

Kata Ibu, kisah ini berlaku sewaktu saat dia dan Ayah mentah dalam membina keluarga di ibu kota.

(Ingatan itu mula berambal-ambal datang kini) Saya ingat sewaktu itu, saya sedang memandu dan ibu di sebelah - jauh dia memandang ke permandangan luar yang dihiris-hiris titis-titis hujan tropikal.

Ibu bercerita, waktu itu adik saya yang pertama (saya anak sulung, jadi kami baru berdua) baharu dilahirkan. Ibu, Ayah, adik perempuan saya dan saya yang kedua-duanya masih lumpuh mengenal dunia - saya mungkin  baru mencecah dua tahun, dan adik perempuan saya kemungkinan baru berbulan mendiami dunia - pulang daripada Hospital mengambil suntikan imunisasi.

Waktu itu, Ayah, mungkin belum mampu atau belum punya lesen, tidak mempunyai kereta. Berharapkan sebuah motor kapcai Yamaha ke hulu ke hilir melaksanakan tugas seorang ayah. Saya masih ingat, saya suka membonceng motor bersama Ayah dan antara tabiat saya ialah melepaskan selipar sewaktu ayah menderu dengan motornya. Ayah akan membuat pusingan lalu mengambil selipar saya yang tergeletak di atas jalan raya, bukan sekali, kadang-kadang berkali-kali - dan Ayah akan terus melayan. Terima kasih Ayah.

Tetapi bukan itu yang ibu ceritakan. (kisah bersambung) Menurut ibu, waktu itu, dalam perjalanan pulang hujan lebat kota raya deras menimpa kami. Ibu, Ayah, saya yang berusia dua tahun, dan adik yang berbulan. Kami berempat beranak terus meredah jalanan kota dengan sebuah motor sehinggalah bantuan Tuhan melalui insan yang penuh belas tiba.

Ini yang saya mahu kongsikan. Ibu berkisah, ada sepasang suami isteri (mereka menaiki van) mempelawa ibu dan adik saya untuk menaiki van mereka - dan menurut Ibu, beliau dan adik dihantar sampai ke rumah.

Dalam redahan hujan sewaktu ibu mengisahkan kisah ini - sempat saya mendoakan pasangan yang ikhlas menolong kami waktu. Dan waktu hujan, mustajab bukan? insyaAllah.

Manusia, kebaikannya kadang tidak tersangka!

No comments:

Post a Comment