Thursday, December 20, 2012

Seni Sebuah Penantian


Penantian perlukan seni, dan aku pelajarinya dengan cara yang payah.

Ah, mungkin akan aku digelakkan. Bodoh, jumud atau sebagainya. Ya panggillah. Aku sedia menerima kerana akan kupulangkan juga buah keras.

Aku pernah menanti - dan ia satu seni yang payah. Cuma percayalah, hasilnya memuaskan dan mendamaikan.


Kamu tahu sendi seni sebuah penantian? Ada banyak rangkanya - aku boleh ambil realisme yang kononnya tampak hidup tetapi kaku semata atau impressionisme yang laju menokak arus semasa, mempedulikan kata dan standard manusia. 

Hah, mungkin aku dikatakan dangkal. Tetapi aku tinggalkan semua, kerana seni penantianku bersendikan cinta - yang diletak kepada Pemilik Cinta.

Penantianku panjang, dan ya seperti yang kaukata penuh ranjau. Terkadang nafsu dan syahwat menceracak naik memulas iman dan taqwa kerana sungguh aku manusia teman! Tetapi syukur, Tuhan masih mengizinkan aku berlandaskan titah syariatnya kerana aku, bersama buah penantianku, kepinginkan cahaya di hujung landasan.

Cahaya cinta dan rahmah. Cahaya iman dan taqwa. Cahaya rasul dan wajah-Nya.

Aku insaf, manusia punya idea. Aku, malah kami, punya idea. Idea bersampul mimpi dan impian sebelum dicetak kepada perbuatan harus ditapis lembaga iman. Takut-takut kelak idea yang kita mimpikan itu mengheret ke neraka Tuhan yang abadi. Aku takut itu teman. Takut sekali.

Kerana itu, aku memilih penantian berseni - ya, seni. Ketekunanku, kesabaranku dan ketabahanku semua diambil kira. Sebelum catan itu dicalitkan ke kanvas kehidupan terkadang aku sangsi, tetapi itu satu proses seni. Warna indah terpilih terkadang aku muak membenci, tetapi gabungan dan lakarnya kelak aku yakin, walaupun aku tidak tahu, akan membuah hasil. Kalau comot, segera akan aku sedar, aku tidak mahu hasilnya begini. Cepat aku perbetul, tidak mahu ia terheret melanggar perspesi membejat hasil seni.

Nah, kini seni penantianku terhasil kepada sebuah lakaran kehidupan. Syurga dunia yang terkadang goyah - tetapi aku berdoa akan kembali dinaung bahagia kerana asasnya ditampung inginnya pada syurga abadi. 

Sudah kubilang, penantian itu berseni. Mahukah kamu luangkan masa kini untuk pelajari dan alaminya?

2 comments: