Thursday, May 21, 2015

Dijajah untuk Bebas

Dahulu rakan saya pernah berseloroh dalam debat peringkat kelas: "Kalau macam itu, kita panggil penjajah, jajah kita sekali lagi"

Saya lupa apa tajuknya - saya pun dengar-dengar daripada rakan yang lain; atau mungkin bukan itu yang dicakapkan pun; mungkin minda saya yang mengubah memori saya supaya seiring dengan apa-apa yang saya bakal tulis.

Kita tolak tepi kejituan memori saya: ada suatu perkara yang benar. Kita memang tahu sedikit akan nilai kebebasan (atau merdeka) berbanding mereka yang pernah berjuang untuk kemerdekaan, atau mereka yang merasai penghambaan, pembodohan ataupun penindasan yang secara langsung berlaku ke atas mereka.

Sebabnya kebanyakan daripada kita, lahir dengan kebebasan sebagai hak lahir kita. Sedikit pula kita terkenang bahawa kebebasan itu ada harga yang perlu dibayar: integriti, tanggungjawab dan pemanfaatan.

Hari ini hakikatnya penghambaan, pembodohan dan penindasan datang lagi - tapi kita memilihnya secara aktif, kerana hakikatnya berada di hujung kontinum "diperlakukan" lebih mudah daripada melakukan.

Kita isi pula dengan pelbagai dogma-dogma arus perdana - atas nama kebebasan aksesibiliti dan hakikatnya itupun contoh penggadaian kebebasan juga.

Betullah kata Nabi SAW, jihad itu sehingga kiamat. Maaf aku bukan ahli hadis, tetapi kalau untuk menjadi iktibar aku, ruang jihad itu akan tetap ada sehingga hari kiamat. Hatta kalau diri kita mencapai Nibbana sekalipun, selagi belum Kiamat, nah, kau memang ada ruang jihad atau pembaikan - yang sepatutnya lebih bersemarak atas platform kebebasan yang sekian lama berdiri di atasnya.

Apabila kaubebas, engkau akan menghargai sekecil-kecil nikmat. Seperti video ini, sang singa meluahkan sisi comelnya saat kali pertama merasai bilah-bilah rumput bermain-main di badannya.


Apabila kita bebas daripada dunia kelak (dengan kejayaan harapnya) sekecil-kecil nikmat di syurga pun akan menjadi sebesar-besarnya. Ditambah lagi dengan ke-tidak-terjangkauan-dek-akal-manusia pada nikmat tersebut - terus terlupa peritnya dunia!

No comments:

Post a Comment