Tuesday, July 5, 2011

Kini Saya Faham

Atuk saya tinggal berseorangan di sebuah flat Program Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur. Hanya ada ibu saudara saya yang tinggal di flat yang sama tapi jauh juga jaraknya, 10 tingkat bezanya. Bukan tiada dalam kalangan anak-anaknya mengajak Bapak (saya panggil atuk saya Bapak, sebab ibu cakap nenek – yang kami panggil emak – ajarkan) tinggal bersama, tetapi Bapak sering saja menolak.

Jadi saya faham, kenapa ibu bertegas mahu pindah semula ke Kuala Lumpur demi menjaga Bapak.

Jadi saya faham, kenapa Ucu (mak su saya) dan Acik (mak chik saya) menangis apabila terdengar jiran lama kami di Kuala Lumpur meninggal dunia dan hanya ditemui beberapa jam kemudian.

Jadi saya faham, kenapa ibu, acik dan ucu kadang-kadang terasa dalam hati apabila Bapak tidak mahu tinggal di rumah mereka lama-lama.

Yang saya tak faham, kenapa Bapak tak mahu.

Hari ini saya menemani Bapak berjumpa Jawatankuasa Sumpah di Jalan Raja Laut untuk menguruskan hal pencen tentera bapak. Saya sedar sangat atuk saya tidak kuat seperti dulu lagi. Usia sudah menjangkau 80 tahun. Di hati saya terdetik, saya mahu ibu dan ayah berjanji kepada saya sekarang bahawa apabila kami semua sudah besar nanti, mereka perlu tinggal bersama kami. Sebak hati saya memikirkannya.

Sehinggalah, kami singgah di restoran, untuk bersarapan. Seorang lelaki berusia 40-an menegur Bapak. 

“Pakcik, maaf pakcik. Saya tak perasan pak cik tadi.”

“Ha,” Atuk saya menghulurkan tangan bersalaman. “Yang ini cucu,” Atuk saya menepuk-nepuk bahu saya.

“Oh, anak Adzhar ke Pak cik?” Saya pula menghulurkan tangan sambil mengangguk, tersenyum. “Yang nombor satu itu ya? Ayah ada kat rumah?” Lelaki itu bertanyakan saya.

Kemudian mamak restoran itu datang mampir, menyampuk. “Pakcik nih kawan lama saya nih. Sepuluh tahun kami kenal!”

Gelak.

“Dulu masa ayah kau duduk Kuala Lumpur, pak cik selalu nampak kau kecil –kecil dulu. Ini yang nak pergi luar negara kan?” Lelaki itu bertanya lagi.

Kemudian perbualan itu berterusan sekejap. Setelah lelaki itu pergi – segala-galanya menjadi masuk akal buat saya - kenapa bapak masih mahu tinggal di sini. Entah tiba-tiba, air mata saya berderai jatuh. Cepat-cepat saya seka, tidak mahu sesiapa nampak.

Saya teringat ibu dan ayah saya – dan saya dapat rasakan permintaan saya agar ibu dan ayah perlu tinggal bersama agak keterlaluan – dan pentingkan diri. Melainkan mereka sudah sakit. Tetapi jika mereka masih mampu, sepatutnya dibiarkan mereka dengan pilihan mereka - dan kami - anak-anaknyalah kelak yang harus kerap melawat mereka.

Seperti Bapak, sejumlah besar kehidupannya di Kuala Lumpur – Kawan-kawannya, kenangannya, dan kubur arwah isterinya.

Ini mengingatkan saya dahulu pernah ibu mengajak Bapak balik ke Nilai, Bapak menolak baik. Katanya, 

“Hari Jumaat nih kan 24 haribulan, genap 10 tahun arwah mak meninggal. Biarlah Bapak duduk sini, nak ziarah kuburnya”

*****

Atuk saya buat saya lebih-lebih menghargai ibu bapa saya. Tetapi soal menjaga mereka masih jauh ke hadapan dan ada perkara yang lebih besar perlu ditekankan bagi setiap anak yang menyayangi ibu bapa mereka.

Jadi anak yang soleh.

Hubungan sesama manusia bukan setakat pada fizikal dan emosional sahaja – ada yang jauh lebih besar, lebih kekal – hubungan spiritual.

Kerana itu Baginda SAW mengajarkan bahawa hanya terdapat tiga perkara yang masih bersambung walau kematian menjemput: Amal Jariah, ilmu bermanfaat, dan anak yang soleh.

Walaupun Baginda tidak dapat menunjukkan peribadi beliau kepada ibu dan ayah Baginda sendiri, tetapi seruan dalam al-Quran sudah cukup untuk menyampaikan peri pentingnya ketaatan kepada ibu bapa. Seperti mana Mus’ab bin Umair menunjukkan kepada kita akhlaknya walaupun ibunya masih belum memeluk islam.

Ibu dan ayah, mereka yang bertanggungjawab membawa kita ke dunia ini. Kita ialah amanah pelaburan mereka, maka akan tiba masanya kita perlu pastikan pelaburan itu berbaloi!

“Satu
kasih nan abadi,
Tiada tandingi
Dia yang Satu
Dua
Sayang berpanjangan
Membawa ke syurga
Kasihnya Ibu
Tiga
Lapar dan dahaga
Rela berpayahan
Setianya ayah
Empat
Mudah kauketemu
Berhati selalu
Beza antara, Kasih dan Kekasih” – Aris Ariwatan

6 comments:

  1. teringat iklan "aku ingin pulang".

    :(

    kalau aku pun minta dipindahkan ke rumah anak2 pun entah mahu entah tidak.lagi2 jika kita besar nanti duduk bersama,berjiran.haish..

    ReplyDelete
  2. berjiran kat seksyen 7 shah alam la ta? haha

    ReplyDelete
  3. nenek (tok) aku pun sama...tak nak pindah dari tanah merah@redLand sana..Kini Saya Faham juga.

    ReplyDelete
  4. Tertarik dengan poin 'anak soleh' tu.
    memang itulah hadiah terbaik kita boleh beri, samada mereka masih di sini atau sudah menanti di sana.

    ReplyDelete
  5. Kini saya faham juga.

    Betapa dalam kancah hidup dunia menggila, begitu tenang dan bermakna punya keluarga beriman untuk bersua dan bersama, di hujung setiap episod mendewasa yang menoda iman yang tak seberapa.

    Kini saya faham juga, kenapa tingkatan dakwah itu bermula dengan membina diri perkasa, kemudian membangun keluarga bakal ahli-ahli syurga.

    Saya bersyukur kerana ini dan itu.

    Dan kerna ada kamu.

    ReplyDelete
  6. Nidzam: touching kan.


    hanif: Betul bro. Ramai yang sayang mak ayah, tapi jarang pulak terfikir walaupun mereka tidak menyakiti hati mereka, tetapi ada perbuatan kita yang membuatkan ibu ayah kita rugi.

    Abang Nadir: betul sangat. Keluarga sentiasa jadi pendorong.

    ReplyDelete