Cerpen ini saya tulis lama dahulu.
Ihsan menjejakkan kaki ke
kawasan raudhah di al-haram. Ihsan tahu, Raudhah, atau raudhatul Jannah
maknanya taman syurga merupakan tempat yang mustajab doanya. Tempat kegemaran
Nabi SAW dan para sahabat berkumpul mencari ilmu dan cinta Rabb mereka. Ihsan membaca
doa, dan melangkahkan kaki kirinya pula. Dia menghirup udara dan nafas
pengorbanan junjungan besarnya dan sebaik-baik generasi. Dia terus melangkah,
menyoroti ruang sebesar dua puluh meter kali enam belas meter. Berderap kakinya
tatkala melangkah di atas permaidani kelabu yang membezakan kawasan itu dengan
kawasan masjid Nabawi yang lain.
Ihsan berdiri menghadap mimbar
yang suatu masa dahulu Nabi Muhammad pernah berdiri di atasnya, membina akidah
dan taqwa. Hasilnya, haramain menjadi simbol bumi merdeka yang absolut, merdeka
daripada perhambaan sesama manusia dan daripada penyerahan kepada nafsu dan
dunia beralih kepada sumber cinta setiap makhluk yakni Tuhannya, Allahurabbi.
Dia mengangkat takbir, memulakan
solat sunat. Suaranya melantun dalam ruang itu. Bacaannya bergema melewati
setiap tiang dan rongga dalam ruang itu.
Usai memberi salam, Ihsan
memandang sekeliling. Ganjil. Malam itu tiada sesiapa di situ. Malah, syurtah
yang sepatutnya bertugas jua tidak kelihatan mengitari masjid yang mulia itu.
Ganjil. Itu kali pertama Ihsan menziarahi raudhah tetapi dia merasakan
bagai sudah beribu kali dia menjejakkan kaki ke situ. Rasa rindunya muncul,
sedangkan rindu itu hanya akan wujud jika kita pernah mengalaminya. Ihsan duduk
berteleku, menghabiskan zikir.
Malam itu sungguh nyaman – musim
siangnya bahang dicengkam suhu musim panas, jadi malamlah masa yang terbaik
untuk memusatkan ibadah untuk Pemilik Tanah Suci Allah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Ihsan memanjatkan doa.
“Kausedarkah kauberada di mana? Kau berada dalam ruang Insan dan generasi
terbaik. Yang setiap hembus nafasnya diabadikan kepada Tuhannya dalam episod
mencari redha-Nya. Kausedarkah? Apa yang perbuat yang menyamai pengorbanan
mereka? Atau kaulupa?”
Ihsan tersentak dengan gumam
hatinya. Dia jadi diam. Air mata mula bergenang di kelopak matanya yang sedari
awal tertutup. Dia menekupkan muka dengan tapak tangannya.
“Jangan kauberi dalih lagi. Ya, mungkin zamanmu asing berbanding zaman
mereka. Kaurenung pula nasib saudara-saudara seakidahmu yang menderita di
Palestin, Kashmir, hatta yang amat dekat dengan kampung halamanmu, Pattani.
Mereka berjuang – mempertahankan apa-apa yang mereka percaya. Kau? Kau
tenggelam dalam keseronokan. Masa dan keadaan menjadi alasan utuh untuk
kaumemeluk tubuh. Fikirkanlah. Fikirkan. Bandingkan dirimu dengan
saudara-saudaramu yang lain. Adakah kaulayak bergelar ikhwan yang Nabimu itu
rindukan? Termasukkah engkau?”
Deru tangis Ihsan bertambah
kuat. Teresak-esak sampai tubuh dan tangannya turut menggeletar.
“Sudah. Sudahlah pengorbananmu dangkal. Bagaimanapula dengan dosa-dosamu
yang belum larut oleh taubat nasuha? Dosa-dosamu yang bertitik di pangkal
hatimu, menghijab cahaya tuhan daripada hidupmu. Ah, cukup sucikah engkau untuk
berada di ruangan taman syurga ini Ihsan? Sucikah?”
Ihsan tersentap.
Sekonyong-konyong, dalam esak tangis, dia gugah dan dengan lutut, dia meyeret
mundur ke belakang. Sedikit demi sedikit dia ke belakang sehingga dia tiba di
pintu masuknya semula. Dari jauh, Ihsan menatap mimbar Nabi. Dia jadi malu, malu
yang teramat bagai wajahnya dilumuri tahi. Dia, kini menghadap salah satu
tempat kegemaran Nabi, tetapi usahanya untuk memperjuangkan apa yang nabi
perjuangkan tidak pernah menyaingi.
“Allah. Kau sudah jadi alpa
kerana kebendaan Ihsan. Kadangkala kauingat kaulah juara dalam mempertahankan
hukum Tuhan – tetapi dalam usahamu itu ada cela-cela riak yang lahap meratah
amalanmu. Ihsan, bersediakah engkau jika saat ini Tuhan memutuskan untuk
menjemput ke Barzakh? Ihsan, jawab!”
Esak tangis Ihsan bertambah-tambah
lagi. Satu demi satu imbasan kelakuannya bermain di mata. Ihsan menangis
tersedu-sedu. Tangannya basah menakung titis mata yang mengharapkan keampunan
Tuhan-Nya. Akhirnya, dia membuka lapis bibirnya yang terketar-ketar,
“Ya Allah, kautahu akan keadaan
hamba-Mu ini, malah lebih daripada apa yang aku sendiri ketahui. Ya Allah,
cubaan demi cubaan dalam bentuk kesenangan banyak, sungguh banyak mencederakan
ruh pemberianmu Ya Tuhan. Aku jadi lesu dengan segala kesenangan dan
kemaksiatan. Y a Allah, ampunkanlah dosaku, besarkanlah jiwaku seperti besarnya
Nabi-Mu Ibrahim menerima ujian dan perintah darimu. Seperti besarnya jiwa
ibu-ibu para syuhada’ tatkala menerima berita akan kesyahidan anaknya. Ya
Allah, janganlah kaubiarkan urusan aku ditentukan melainkan dengan petunjuk dan
cahaya daripada Engkau Ya Allah. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku, kuatkanlah
keazamanku untuk bangkit daripada zulumat yang mengcengkam. Ya Allah,
kaumuliakanlah umat islam, dengan Islam yang mulia. Ya Allah. Bacalah isi
hatiku, nilaikanlah keikhlasanku Ya Allah. Izinkan aku peroleh cinta-Mu yang
suci lagi mulia. Allahu, Allahu, Allahu”
Tiba-tiba, Ihsan merasakan satu
kehadiran.
Kehadiran yang mulia.
“Salam ‘alaik...”
Ihsan terjaga daripada lena. Dia beristighfar dan menguis peluh yang
merenik di dahinya. Dia melihat jam dari skrin telefon bimbitnya. 2.45 am.
Masih ada masa lagi sebelum subuh menjengah.
Suara lelaki yang didengari dalam mimpinya tadi buat dia jadi kuat melawan
kesejukan New Jersey yang mencucuk-cucuk pedih.
Malam itu, Ihsan tenggelam dalam keasyikan – kepada Tuhannya, kepada
Rasulnya.
No comments:
Post a Comment