Thursday, May 17, 2012

Kekeliruan yang membarah.

Belajar Islam dalam kelas Quran dan Muhammad kepada seorang professor yang bukan muslim, memberikan peluang kepada saya untuk melihat dunia islam dalam cara yang berbeza.

Iaitu mudah - bukan semua melihat Islam dengan cara yang sama!

Kita mungkin berang apabila ada yang melihat islam sebagai pengganas dan sebagainya, ataupun sekadar agama ritual, atau pun melihat Nabi Muhammad sebagai penguasa dan pengamal undang-undang yang cemerlang - mereka punya hak untuk itu berdasarkan informasi yang mereka peroleh dan analisis (atau pilih - ini dinamakan selective interpretation).


Jadi soalan emas bernilai satu juta ringgit ialah - siapa yang berhak untuk menonjolkan kecemerlangan islam serta kesempurnaannya sebagai ad-Din yang Allah redha?

Sayalah, dan mungkin awak serta mereka yang mengucap dua kalimah syahadah - berpungguk atas empat tiang rukun islamnya yang lain dan bergantung pada enam tiang rukun imannya.

Kitalah yang wajib mempamerkannya - Syahadatul Haq seperti yang dilontarkan oleh Syeikh Abul A'la al-Maududi.


Irshad Manji - Produk Kekeliruan Islam


Menurut wikipedia.com, Irshad Manji lahir dalam keluarga Islam dan membesar di Canada. Selain terang-terangan mengakui seksual orientasinya, Irshad Manji mengaku dia masih Islam. Walau tidak solat, setiap hari dia bangun pagi, dia akan bersyukur kepada Allah kerana masih hidup.

Penulis kepada dua buku yang fenomenal di Barat dengan tajuk - The Trouble with Islam Today dan Allah, Liberty and Love tegar mengkritik islam tradisional, malah apabila ditanya kenapa programnya di Monash dibuat ketika waktu solat Jumaat, dia menjawab di twitter bahawa solat jumaat itu man-made.


Dengan pernyataan yang saya buat, senanglah untuk kita memutuskan, "MasyaAllah, dia ini jauh tersesat. Boleh jatuh hukum Kaafir," atau, "Dahlah lesbian, kaum nabi Lut - mahu soal perihal agama pula"

Klimaksnya, "Oh, dia mesti ditentang! Tidak boleh bagi ceramah di Malaysia"

Bukanlah saya tidak setuju - malah saya lega apabila banyak NGO telah bersatu dan membuat laporan polis ke atas Irshad Manji atas dakwaan menyebar liberalisme dan homoseksualiti.

Cuma suara yang disenyapkan, bukankah akan lebih bergema di alam virtual ini?

Dalam wikipedia.com dan juga blog rasminya, Irshad Manji dikhabarkan cemerlang dalam suasana pendidikan sekular tetapi dibuang daripada sekolah agama kerana asking too many questions. 


Saya bayangkan ini cara fikirnya, bayangan saya sahaja, boleh jadi salah boleh jadi betul. Ya, persoalannya yang tidak terjawab itu digagaskan sendiri jawapannya, mungkin berpunca daripada pandangannya yang serong terhadap institusi islam itu sendiri atau mungkin pengalaman-pengalaman mengamalkan islam di barat yang amat mengagungkan humanisme.


Credit


Dia terperangkap dalam ketegangan antara perintah Allah dan kehendak diri dan masyrakat sekelilingnya. Dia cari keharmonian, dan dia ketemu ijtihad - satu reformasi, satu cara fikir yang baru untuk menilai Islam semula. Dia seru manusia kepada Allah dan Islam dengan cara dan nafas baharu!

Malangnya dia buat itu mengikut acuan barat. Tanpa bimbingan.

Barat memujinya, dan dunia Islam yang dia gelar tradisional mencemuhnya. Akhirnya, dia fikir dia on the right track kerana apalah erti perjuangan tanpa tentangan. Perjuangan itu selalunya di pihak minoriti. Sedang dia lupa, benar atau batil pada perjuangan bukanlah pada tentangan, tidak pula pada minoriti atau majoriti. Perjuangan yang benar itu ialah seruan kepada Allah dan Islam - satu liberasi kepada perhambaan kepada Allah dengan cara yang Allah kehendaki melalui tunjuk ajar junjungan tercinta Muhammad SAW!

Credit
Sekali lagi saya ingatkan, ini cuma anggapan saya kepada fikrah perjuangan Irshad Manji dan golongan yang bersekutu dengannya.

Mereka sayangkan identiti Islam mereka - dan cari jalan, walau bersimpang siur manapun - untuk mengharmonikannya dengan seisi dunia yang lain.

God created Aql (thought, thinking capacity) why should he be afraid of it?

Kerana itulah, bagi saya sekadar penguatkuasaan undang-undang tidak cukup. Jeritan batin liberal pasti akan berkumandang di sana sini, lihatlah Malaysia. Walau kita cuba itu dan ini, suara-suara liberal pasti kedengaran sana sini - entah-entah jumlahnya semakin bertambah, dan semakin berani pula walau ditentang. LGBT, Seksualiti Merdeka, kebebasan beragama dan sebagainya. Maaf saya tidak punya sebarang figura, tetapi ini boleh dilihat melalui trend semasa.

Oleh itu, Malaysia harus keluar dari kepompong penguatkuasaan undang-undang dan bertarung dalam gagasan ilmu juga! Kita selalu suka ceramah yang riang ria dengan lawak, soal-soal fiqh yang tidak berkesudahan. Kini tiba masa kita mengkaji Islam dalam sfera yang lebih luas. Letak duduknya dalam dunia moden.

Saya tidak pernah membaca karya Irshad - tetapi dia kini sudah punya dua buku, sebuah rancangan dokumentari "Faith without Fear" yang dicalonkan untuk anugerah Emmy. Bukunya yang pertama, yang diterbitkan selepas 9/11 mendapat pujian barat, dan juga dia diketengahkan sebagai "Osama bin Laden's worst nightmare"! Sedang sedikit pula mereka tahu bahawa kedua-duanya, Irshad dan Osama, boleh saya kategorikan sebagai dua polemicist pada dua cabang continuum yang berbeza.

Bagaimana pula dengan kita yang menentang Irshad? Adakah buku yang dikeluarkan untuk membidas hujah-hujah yang Irsad keluarkan? Atau dokumentari sebagai counter-argument? Benar kita hanya tahu menghukum sedangkan ilmu itu harus dibidas dengan ilmu juga.

Barah Senyap yang Terus Membawa Padah

Kekeliruan ini akan terus membarah kerana kita cuba untuk menutup simptomnya sedangkan persoalan-persoalan besar mengenai kekalutan Islam dan dunia moden masa kini banyak yang tidak terjawab. Saya yakin ada buku di luar sana yang mengetengahkan perkara ini - tetapi malang apabila kita hanya mengetengahkan Irshad Manji tanpa memberikan hujah balas, buku apa atau siapa yang boleh membalas hujan Irshad dengan berkesan.

Saya juga sedih kerana saya juga kurang bacaan mengenai isu ini.

Tahu apa kesannya? Sama seperti 9/11 yang mengetengahkan keburukan dan keganasan Islam mendorong ramai untuk mengkaji dan akhirnya terjumpa sisi benar dalam Islam yang tidak tercemar oleh kegagalan institusi Islam.

Setelah 9/11, Irshad mungkin begitu juga. Ramai yang akan membaca karya Irshad untuk memenuhi rasa ingin tahu mereka - dan persoalan-persoalan yang tidak terjawab oleh Irshad suatu masa dahulu dikongsi bersama dan dipandu jawapannya melalui karya beliau. Kekeliruan ini terus membarah, dan mengelirukan pihak yang selama ini mencari jawapan yang tidak ketemu.

Benarlah kekeliruan ini membarah!

p/s: Sewaktu saya menulis ini saya sedang mencari video-video debat di Youtube berkaitan Irshad Manji. Tetapi dengan kelajuan internet yang semput-semput saya harus sabar lagi menanti. InsyaAllah jika selesai menonton semuanya, akan saya pamerkan link di entri ini.

pp/s: Saya jumpa bacaan yang menarik, The Trouble with Irshad Manji :)
Wallahua'alam

Ya Allah, Tunjukkanlah kami yang haq itu haq, dan kurniakanlah kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah yang batil itu batil dan kurniakanlah kami untuk menjauhinya. 

No comments:

Post a Comment