Tuesday, April 24, 2012

Cintailah Negara Kita

Kau menggeletar. Seakan lembaran al-Quran itu buku yang baru bagi kau. Tidak pernah dibelek. Tidak pernah ditelek.

Matamu tertancap pada muka surat yang satu itu. Betapa agungnya pengorbanan mereka. Benarlah, dengan iman, segalanya tidak mustahil. Yang dahulunya kuat menentang pun boleh jadi yang paling kuat menyokong.

Apabila hati terbuka, tanda terbentang, hidayah Allah datang tanpa disekat-sekat.

"Amir, apa yang kaumenungkan itu?" Suara ibu memecahkan lamunan kau yang tidak terbatas zaman itu. Berat rasanya mahu menyahut. Tetapi itu panggilan ibu. Duhai, mahu jadi anak derhakakah engkau?

"Er, baru baca al-Quran ibu. Menarik." Kau menjelaskan kisah yang sejak tadi mengusik hati engkau. Mengusik hati, menguis butir-butir ragu. "Ibu, izinkan Amir untuk pergi esok." Kau tunduk. Takut untuk membaca riak wajah ibu.Tidak. Apa yang kau takutkan ialah riak muka ibu yang risaukan anaknya. Menidakkan kehendak engkau. Oh sungguh dia seorang ibu. Engkau ialah dunianya!

Sunyi.

Ibu memeluk engkau. Erat. "Jaga diri. Ibu tak boleh halang. Amir sudah besar." Engkau menatap wajah ibu. Matanya mula bergenangan.

"InsyaAllah ibu. Allah bersama kita." Apa yang engkau tidak tahu, ibu bangga dengan engkau. Dia akui jiwa pejuang itu mengalir bersama darah dalam setiap detik nadi berdenyut. Dalam jiwa arwah suaminya. Dalam jiwa arwah bapanya.

***

Kisah yang terukir abadi di Al-Quran itu bermain di kepala engkau. Jauh, jauh engkau membayang. Ke satu zaman yang tidaklah engkau tahu melainkan dari dengar-dengar sahaja. Zaman Nabi Allah Musa bertentang mata dengan Firaun kejam.

Sekumpulan ahli sihir barua Firaun, jatuh berlutut ke tanah. debu bertebaran, berkepul ke atas.. Lemah longlai. Mereka tewas, tetapi mereka puas. Mereka kalah, tetapi mereka tidak gundah. Sinar hidayah itu terik memancar apabila ular Nabi Musa menelan tali dan tongkat mereka yang disihirkan.

Apabila hati terbuka, tanda terbentang, hidayah Allah datang tanpa disekat-sekat. Mereka beriman dengan Tuhan Musa dan Harun, Tuhan sekalian alam!

Titah firaun tidak sedikit menggugat jiwa mereka yang secara spontan sarat iman. "Duhai Ahli Sihir, mengapa kalian beriman di luar keizinan aku. Sungguh, ini rencana kamu dan Musa. Muslihat untuk memporak-perandakan negara ini." Merah padam muka Firaun. Egonya dicalar Allah maha Kuasa.

"Pasti aku akan potong tangan dan kakimu, bersilang, dan menyalib kamu kelak" hukuman daripada figura yang tamak kuasa jatuh menimpa ahli sihir. Firaun tersenyum, pasti mereka takut. Akulah Tuhan mereka yang paling tinggi!

Ahli-ahli sihir itu jauh dari berganjak daripada keyakinan baru mereka. Unggun keimanan dalam diri mereka sudah mustahil untuk dipadam dengan momokan duniawi. Biarlah. Biarlah sistem menzalimi mereka.Kebenaran harus tertegak walau hilang dibayang likat gelap kebatilan. 

"Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan menyerah diri" seru Ahli-ahli sihir kepada Tuhan Musa dan Harun. Tuhan mereka. Tuhan Firaun. Tuhan sekalian alam!

Baju-baju biru yang mengawali ketat stesen Sistem Transit Aliran Ringan Pasar Seni mematikan lamunan Amir. Engkau kini kembali ke alam nyata. Namun susuk Firaun masih di mana-mana. Engkau mahu jadi seperti ahli sihir - yang tetap teguh dalam beriman, walau dalam keadaan penuh ancaman.

Pintu koc terbuka. Ah, saat engkau melangkau keluar, saat wajah sahabat-sahabat karibmu muncul dengan tangan melambai, saat itu kau ragu. Wajah ibumu. Biasiswamu. Universitimu. Apa-apa yang engkau ada sekarang mungkin hilang. Apa-apa yang kau boleh ada kemudian mungkin lenyap. Keputusan apakah ini Amir?!

Engkau berpelukan dengan sahabat-sahabatmu yang setia menanti. Senyuman berbalasan. Indahnya pagi itu, tiada siapa yang tahu apa yang bakal berlaku. Deru kereta pudar saat engkau turun dari stesen. Hanya gagak yang bersahutan pada pagi itu. Lengang. Hari ini kota raya lengang. Baju-baju biru berulang-alik. Sesekali pandangan kepada engkau dan sahabat-sahabatmu dilemparkan.

Berlagak kasual. Tiada apa yang salah. Engkau tidak mendokong cita politik. Engkau, dan ramai lagi menjunjung cinta keadilan. Engkau tidak datang untuk merusuh. Engkau dan ramai lagi hanya datang untuk menuntut. Menuntut agar sistem yang pincang tunduk pada suara rakyat yang cintakan keadilan dan kesaksamaan. Engkau tidak betah lagi hidup dalam penipuan.

Memikirkan itu sahaja. Jiwa engkau jadi lali dengan lolongan suara hati yang pengecut. "Aku yang pengecut, engkau duduk diam di sudut hati. Hari ini, nyata bukan hari engkau!" Suara hati engkau berbisik.

Saat itu kau melangkah. Lautan manusia mula membanjiri jalan yang dahulunya lengang. Gagak yang  menguak tenggelam dalam sorakan lautan manusia yang pelbagai ragam itu. Ya, manusia punya suara, dan mereka mahu suara mereka didengari.

Dengan lafaz bismillah, kau menyertai barisan yang semangat itu. Semboyan keadilan telah lama berbunyi. Apakah salah engkau mahukan negara yang bersih?

Thursday, April 19, 2012

#occupydataran


Memandangkan saya follow ramai jugalah figura-figura pembangkang di twitter jadi isu ini sangatlah kecoh. RT sana, RT sini. Memandangkan saya mahkluk Tuhan yang dikurniakan akal untuk berfikir dan menilai, jadi saya isi kapasiti itu dengan menyuarakan pendapat saya di blog yang tidak seberapa ini.

Mula-mula kita kaji dulu, sebab apalah Occupy Dataran ini diwujudkan, sebab BERSIH 3.0 kah? Orang yang dah tahu mungkin cakap tiada kaitan, tapi tunggu dulu. Let me present my case. Yang saya pasti ini bukanlah satu misi perjuangan yang kosong - asas memang ada asas, dan meminjam kata-kata YB Dr. Zul Nordin yang memberikan pengisian di program Alif Ba Ta di Rochester Institute of Technology NY dulu, "Ideal dah ada, tapi value  yang digunakan adakah praktikal dan bertepatan dengan nilai islam dan ketimuran perlu dipertimbangkan."
Kredit: FreeMalaysiaToday

OK. Kita biarkan dulu. Kita bincangkan isu-isu yang diputarkan. Antara isu yang hangat yang dimainkan oleh protester-protester ini ialah isu PTPTN di mana mereka mahukan PTPTN ini dimansuhkan - apa yang diperjuangkan sama ada sudah tidak ada lagi PTPTN atau pendidikan percuma agak kabur. Tetapi daripada pembacaan saya mereka mahukan kedua-duanya.

MANSUH PTPTN

Seperti yang semua sedia maklum, PTPTN atau nama momokannya PTPTpu memang agak terkenal di Malaysia. PTPTN merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang bertanggung jawab untuk memberi pinjam dan memungut hutang. Antara ahli lembaganya ialah Ahli-ahli Parlimen sendiri, ahli-ahli yang dilantik Menteri, dan pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan seperti LHDN. Memang satu tujuan yang mulialah, nak bantu golongan pelajar yang kurang bernasib baik tidak mendapat tajaan mana-mana pihak dan memberikan mereka peluang kedua untuk belajar di sistem tertiari. Cuma yang menyesakkan ialah pungutan semula pinjaman itu dikenakan caj pengurusan sebanyak 3%. Senang cerita, secara asasnya itu ialah riba - yang ditukar namanya kepada caj pengurusan.

Tetapi kemudian, konsep ujrah pula diperkenalkan. Ujrah atau upah ialah satu facade islamik yang cuba diketengahkan. Dari 3% berkurang kepada 1%. Walaupun, menurut Ustaz Zaharuddin [di sini], masih ada lagi "helah ribawiyah" dan tidak berjaya untuk memenuhi standard ulama' antarabangsa kerana upah berdasarkan jumlah pinjaman atau tempoh pinjaman TETAP RIBA, sebaliknya haruslah dinilai melalui kos pengurusan semata-mata.

Pendapat saya, baguslah ada ujrah, kurang beban. Cuma keikhlasan itu diragui sedikit kenapa tidak di"ujrah"kan semua pinjaman - sebaliknya kena pohon. Jadi kalau ada bukan muslim yang membaca entri ini, silalah tukar kepada ujrah, nama je nama arab tetapi terpakai untuk semua pihak sebab dari pencarian saya tidak ada klausa hanya dikhaskan untuk orang islam.

Kredit: MalaysiasDilemma
Menurut rancangan Rafizi, Pengarah Strategik PKR, kerajaan boleh membayar RM 24.7 Billion kerugian yang ditanggung oleh Malaysia melalui pelbagai cara seperti elak rasuah dan juga, menurut beliau, sedut bond daripada Petronas sebanyak RM 2 Billion setahun, maka akan mampu mengganti semula pinjaman tersebut.

Jadi patut tak mansuh?

Kita bincang isu pendidikan percuma dulu.



PENDIDIKAN PERCUMA


Percuma. Semua orang suka. Cuma masalahnya bila percuma ialah orang akan take things for granted. Biasalah, bila kita tidak letakkan nilai pada sesuatu manusia suka untuk menganggapnya tak bernilai. Jadi secara asasnya pendidikan percuma untuk sekolah rendah dan menengah sangat saya sokong, dan sudahpun dibuat. Kudos kepada kerajaan.

Tetapi daripada pihak kerajaan, walaupun percuma, tolonglah pastikan ia berkualiti dan holistik. Dengan sistem pedidikan yang exam-oriented saya rasa tidak patut untuk perjuangkan isu pendidikan percuma, kerana content yang belum sedia mantap lagi dan malah boleh dikatakan masih jauh dari Falsafah Pendidikan Negara.

Kredit: Crankshafted
Isu Pendidikan Percuma di peringkat tertiari juga bagi saya sangat sukar untuk dibayangkan. Dengan sistem yang sedia ada, jalannya masih kabur. Para demonstran Occupy Dataran perlu lebih terperinci lagi dengan menyediakan pelan bagaimana untuk merealisasikan pendidikan percuma. Apa yang saya lihat pendapatan negara melalui cukai dan perdagangan harus juga digunakan untuk menjana ekonomi dan pendapatan seterusnya, membangunkan infrastruktur dan sebagainya, kalau semua hendak dilaburkan kepada rakyat bagaimana pula dengan proses pembangunan untuk generasi seterusnya? Bukan main sorak Najib Altantuya, kalung bunga - sebagai mahasiswa saya malu. Sangat malu. Kita kalah dalam beremosi.

Benar, saya pelajar tajaan. Saya tak rasa apa yang peminjam PTPTN rasa. Segalanya ditaja, tetapi jangan lupa, kami perlu bayar balik dengan kecemerlangan dan juga perkhidmatan. Ada pinjaman boleh ubah dan ada juga tajaan penuh tetapi perlu berkhidmat dengan kerajaan atau syarikat yang menaja.. Saya secara peribadi juga tidak setuju dengan pelajar tajaan yang mengulang subjek untuk semester seterusnya kerana ia akan merugikan kerajaan, dan seterusnya pelajar akan mengambil ringan. Bagi saya, baik diasingkan yuran pengajian yang berulang itu dan kenakan pungutan sewaktu kami bekerja kelak - mungkin lebih adilnya di situ. Wallahua'lam.

Berkenaan isu pendidikan percuma, khusus di Pendidikan Tertiari - berilah kepada yang layak. PTPTN tidak perlulah dimansuhkan sebaliknya dijadikan pinjaman boleh ubah dan KAJI SEMULA KADAR yang dikenakan - walau apa pun namanya. Secara tidak langsung ia memberikan peluang kedua bagi yang tidak bernasib baik, dan menjadikan faktor eksternal untuk lebih cemerlang.

MAHASISWA BETUL?


Saya tak tahu. Betul tak tahu. Adakah demonstrasi jalanan cara terbaik? Yang pasti, saya menentang keras chanting kotor yang digunakan, apatah lagi yang berunsud ad hominem (cercaan atas peribadi seseorang) kepada DS Najib ke pegawai DBKL ke malah siapa-siapa pun. Saya juga menentang keras vigilante jalanan yang mempraktiskan budaya samseng, kononnya atas nama kerajaan dengan memukul demonstran sana-sini. Sekali lagi kita kalah dengan emosi dan memalukan diri. Terbahak-bahaklah musuh kita di luar sana.

Saya juga membantah pelajar-pelajar yang bila dapat duit sibuk nak beli telefon Blackberry dan iPhone atau belanja awek. Kemudian keputusan pun cukup-cukup makan, mahu pula sibuk-sibuk nak berdemonstrasi angkat poster tuntut pendidikan percuma. Ini kezaliman. Mahukan pendidikan yang percuma tetapi anda sendiri tidak menghargainya. Jika sudah tahu mahu dibayar balik wang tersebut, menabunglah supaya memberi hasil kelak.

Demonstrasi? Saya kurang suka. Tetapi itu mungkin cara paling efektif dalam lanskap sosiopolitik Malaysia sekarang. Media yang berat sebelah, walau sebesar manapun dialog atau debat yang dianjurkan kalau tidak menyebelahi pihak "tersebut" manakan dapat liputan. Tetapi berdemonstrasilah dengan akhlak, dengan intelek agar objektifnya tercapai. Tak kisahlah anda ikhwah ke akhwat ke, libbies ke konservatif ke socialist ke - kekerasan baik dalam perkataan atau perbuatan yang tidak kena pada tempatnya tidak pernah menjadi jalan penyelesaiannya. Setakat menang sorak, dan mahu nampak tertindas sahaja tidak menjamin apa usaha anda membuahkan hasil.

KESIMPULAN


Saya dilahirkan daripada sistem yang rosak. Dan saya tekad mahu mengubahnya dengan mengubah diri saya dahulu. Itu intisari pesan Mahatma Gandhi. Mana-mana revolusi harus bermula daripada dalam diri.

Di USA pelajar yang tidak cukup wang, mereka bekerja untuk membayar yuran tuisyen (tuition fees di US ialah yuran pengajian) yang boleh mencecah $12 000 satu semester. Bukan semua orang senang, atau ada simpanan atau tajaan oleh itu, ada yang bekerja sampai 3 kerja dalam satu-satu masa. Ini bagi saya usaha yang baik jika universiti tempatan menyediakan peluang bekerja di Kampus - di kedai makan atau sebagainya untuk membantu pelajar-pelajar mencari wang tanpa mengharapkan secara total kepada pinjaman. Lebih baik, mereka boleh menabung untuk membayar semula pinjaman.

Demonstrasi-demonstrasi ini memang popular di negara barat - anda tahu kenapa? Kerana suara massa memang sangat penting dan pengundi-pengundi barat tidak takut untuk merubah kerajaan. Saya bukanlah mahu bermodelkan barat, tetapi ada yang kita boleh ambil iktibar. Dahulu sewaktu pemerintahan British pun ada rakyat Tanah Melayu yang sangsi akan kebolehan mereka untuk mentadbir tanah sendiri. Keyakinan kita goyah dek asahan dan tujahan imperialisme, dan masalah ini berulang dan mengalir dalam lipatan sejarah. Kini kita alaminya. Kita takut untuk merubah kerajaan sekarang, takut itu dan ini. Tetapi berilah peluang lima tahun kepada "mereka", dan kita lihat hasilnya setelah 50 tahun ditadbir oleh pemerintahan yang sama kita masih gagal berpuas hati. Kalu tak puas hati, kita tukar balik. Barulah ada dinamismenya di situ.

Dan golongan berkuasa juga perlulah belajar melepaskan kuasanya kerana banyak yang kita boleh belajar di bawah. Dan apalah seronok sangat mengejar kepimpinan - kerana sebelah kaki di neraka, sebelah lagi di syurga. Gagallah sistem kepimpinan apabila pemimpin sudah menganggap pangkat itu ialah karamah (kemuliaan) bukan lagi amanah (tanggungjawab) yang akan dipersoalkan kelak.

Tidak, saya tidak memenangkan mana-mana pihak. Saya cuba sedaya upaya memberikan pandangan yang objektif. George Washington pernah berkata "Absolute power corrupts absolutely" oleh itu saya menyokong juga usaha BERSIH 3.0 yang menuntut proses pilihanraya baik dari segi kempen, utilisasi media dan pungutan undi yang lebih telus. Kalaulah sistem dwiparti negara kita lebih tampak dan diterjemahkan dalam proses pilihan raya, saya yakin mana-mana pihak akan lebih telus dalam memegang kerajaan sebab mereka tahu ada persaingan. Ada check and balance. 
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Maidah 5:42)
Berlaku adillah. Saya sudah melakukan penyelidikan saya dan menggariskan pendapat saya. Saya tidak memaksa sesiapa pun untuk bersetuju kerana kita bukanlah robot yang boleh diprogramkan. Buatlah kajian anda dengan berhati-hati, jangan semberono dan ikut emosi serta bertanggungjawablah atas apa yang anda percaya. Memetik kata-kata Stephen Hawking,

"The enemy of knowledge is not ignorance, but the illusion of knowledge"


Saya hanyalah pemuda yang sedang belajar dan akan terus belajar. Wallahua'lam.

Sunday, April 8, 2012

Yang ke 48!

Saya suka bulan April! Banyak hari lahir orang saya sayang :)

April 8 1964, hari lahir ayah saya - En. Adzhar Abd Manaf.

lagu untuk ayah :)



Susah sikit nak berfeeling-feeling  dengan ayah ni, sebab lelaki ada cara berbeza untuk menyampaikan rasa kasih sayang mereka, dan itulah yang saya rasa.


Banyak, sebenarnya saya tak sependapat dengan Ayah saya - maklumlah anak lelaki, dia nak membina identiti tanpa diadun oleh mana-mana tapi dalam diam sebenarnya banyak yang ayah pengaruhi saya.

Saya rasa, Ayah lebih kenal saya lebih dari saya kenal diri saya. Hah, macam telepati la pulak. Tapi itulah hakikat.

Allah, moga Allah curahkan rahmat-Nya kepada Ayah.

Saya masih ingat lagi, dulu ayah tanya mahu jadi apa, saya jawab mahu jadi jurutera - kemudian ayah balas, "Hmm, mana ada muka jurutera," dalam nada entah bergurau entah tak.

OK, sebenarnya agak touching la, tapi betullah cakap Ayah - saya memang tak ada hati pun mahu jadi jurutera. Dan selepas SPM pintu terbuka luas, Alhamdulillah, tetapi saya runsing. Kemudian Ayah text saya, "Along ambillah yang mana-mana pun, ayah sokong je. Yang penting kerja untuk agama Allah."


Allah. Betapa besarnya nasihat. Semoga saya terus tsabat dalam jalan ini.

Lagi, saya masih ingat "insiden" saya melanggar kereta jiran sewaktu berlatih memandu kereta. Kemudian, dalam sugul Ayah datang mengetuk pintu dan berkata, tersenyum "Ha, senang tak jadi dewasa. Takpe, Ayah uruskan nanti"

Allah.

Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang, tetapi Ayah berbekal kudrat yang ada, membesarkan kami tujuh beradik dengan sedaya mampu. Dia akan mendahulukan kepentingan anak-anaknya berbanding kepentingannya dan ibu.

Untuk kami anak-anaknya.



Allah, tiada apalah yang mampu saya balas melainkan doa yang berpanjangan dan agar saya dapat berbakti kepada mereka setiap masa di saat saya mampu berdiri sendiri kelak. Amin.





Oh ye, saya jarang cakap benda ini kepada ayah, Along sayang ayah! :')

Tuesday, April 3, 2012

Untuk yang ke lima puluh.

Siapalah saya tanpa seorang wanita yang senantiasa menjadi tulang belakang saya.

Yang sentiasa ada untuk mengisi saya jika jiwa saya kekosongan.

Yang sentiasa ada untuk mendengar jika saya ingin meluahkan.

Yang sentiasa ada untuk memujuk jika hati kesugulan.

OK sebelum teruskan. Play dulu lagu ini. :)
Hanya satu dalam dunia.

Itulah ibu saya. 21 tahun mendidik dan memanjai saya.

Alhamdulillah hari ini masuk usianya yang ke 50. Saya baru sahaja menghubungi ibu saya, yang pastinya paginya sibuk menguruskan adik-adik bersekolah - tambah lagi ibu mahu bersiap-siap ke kelas pondoknya.

Moga Allah meredhai usia ibu.

Keluarga kami bukan bermula dengan senang. Bagi ibu, banyak cabarannya. Ibu yang dibesarkan di Singapura secara selesa, kemudian terpaksa hidup bersusah-susah di Kuala Lumpur bersama nenek dan adik-beradiknya yang lain.  gara-gara kurang perancangan

Tetapi kesusahan itu mengajar, menjadikan ibu tabah.

Saya diajar dengan tegas oleh ibu. Setiap malam, setelah usai bekerja ibu akan duduk di hadapan saya mengajar saya membaca. Saya masih ingat. Kadang-kadang menangis-nangis hendak mahu tidur. Alhamdulillah, dalam usia 3 tahun setengah saya mampu membaca dengan lancar.

Jasa ibu saya.

Sewaktu kami duduk di rumah panjang di Kuala Lumpur (dalam tempoh 90-an) bayangan paling jelas ialah sewaktu keputusan bekalan elektrik. Rumah bergelap mencari lilin. Sudah tentu kami adik beradik yang paling gembira sebab dapat bermain api.

Tetapi apabila hendak tidur. Mulalah, panas, nyamuk. Sewaktu itu ayah sering kerja malam. Jadi ibulah. Ibulah yang akan mengipaskan kami dengan helaian surat khabar yang dilipat-lipat, mendodoikan kami dengan bacaan ayat al-Qursi - bacaan yang paling sempurna saya dengar. Sewaktu kecil, saya akan rasa selesa dan selamat tatkala mendengar bacaan ibu. "Syaitan, jin, hantu, nyah kau dari sini!" *bayangkan saya yang kecil berteriak comel. Hoho.

Alhamdulillah, adik-adik yang lain tidak merasa apa yang kami atas-atas ini rasa. Dengan rumah yang besar dan selesa, semua itu sedikit demi sedikit lenyap daripada ingatan.

Ibu pesan dalam telefon sebentar tadi, "Dah masuk warga emas, keputusan mesti emas, semua nak emas"

InsyaAllah Ibu, menantu emas pon boleh dicarikan :P

Salam Sayang Along daripada bumi Amerika. Terima kasih untuk segalanya, and you know you'll always be the number one for me :)