Tuesday, April 24, 2012

Cintailah Negara Kita

Kau menggeletar. Seakan lembaran al-Quran itu buku yang baru bagi kau. Tidak pernah dibelek. Tidak pernah ditelek.

Matamu tertancap pada muka surat yang satu itu. Betapa agungnya pengorbanan mereka. Benarlah, dengan iman, segalanya tidak mustahil. Yang dahulunya kuat menentang pun boleh jadi yang paling kuat menyokong.

Apabila hati terbuka, tanda terbentang, hidayah Allah datang tanpa disekat-sekat.

"Amir, apa yang kaumenungkan itu?" Suara ibu memecahkan lamunan kau yang tidak terbatas zaman itu. Berat rasanya mahu menyahut. Tetapi itu panggilan ibu. Duhai, mahu jadi anak derhakakah engkau?

"Er, baru baca al-Quran ibu. Menarik." Kau menjelaskan kisah yang sejak tadi mengusik hati engkau. Mengusik hati, menguis butir-butir ragu. "Ibu, izinkan Amir untuk pergi esok." Kau tunduk. Takut untuk membaca riak wajah ibu.Tidak. Apa yang kau takutkan ialah riak muka ibu yang risaukan anaknya. Menidakkan kehendak engkau. Oh sungguh dia seorang ibu. Engkau ialah dunianya!

Sunyi.

Ibu memeluk engkau. Erat. "Jaga diri. Ibu tak boleh halang. Amir sudah besar." Engkau menatap wajah ibu. Matanya mula bergenangan.

"InsyaAllah ibu. Allah bersama kita." Apa yang engkau tidak tahu, ibu bangga dengan engkau. Dia akui jiwa pejuang itu mengalir bersama darah dalam setiap detik nadi berdenyut. Dalam jiwa arwah suaminya. Dalam jiwa arwah bapanya.

***

Kisah yang terukir abadi di Al-Quran itu bermain di kepala engkau. Jauh, jauh engkau membayang. Ke satu zaman yang tidaklah engkau tahu melainkan dari dengar-dengar sahaja. Zaman Nabi Allah Musa bertentang mata dengan Firaun kejam.

Sekumpulan ahli sihir barua Firaun, jatuh berlutut ke tanah. debu bertebaran, berkepul ke atas.. Lemah longlai. Mereka tewas, tetapi mereka puas. Mereka kalah, tetapi mereka tidak gundah. Sinar hidayah itu terik memancar apabila ular Nabi Musa menelan tali dan tongkat mereka yang disihirkan.

Apabila hati terbuka, tanda terbentang, hidayah Allah datang tanpa disekat-sekat. Mereka beriman dengan Tuhan Musa dan Harun, Tuhan sekalian alam!

Titah firaun tidak sedikit menggugat jiwa mereka yang secara spontan sarat iman. "Duhai Ahli Sihir, mengapa kalian beriman di luar keizinan aku. Sungguh, ini rencana kamu dan Musa. Muslihat untuk memporak-perandakan negara ini." Merah padam muka Firaun. Egonya dicalar Allah maha Kuasa.

"Pasti aku akan potong tangan dan kakimu, bersilang, dan menyalib kamu kelak" hukuman daripada figura yang tamak kuasa jatuh menimpa ahli sihir. Firaun tersenyum, pasti mereka takut. Akulah Tuhan mereka yang paling tinggi!

Ahli-ahli sihir itu jauh dari berganjak daripada keyakinan baru mereka. Unggun keimanan dalam diri mereka sudah mustahil untuk dipadam dengan momokan duniawi. Biarlah. Biarlah sistem menzalimi mereka.Kebenaran harus tertegak walau hilang dibayang likat gelap kebatilan. 

"Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan menyerah diri" seru Ahli-ahli sihir kepada Tuhan Musa dan Harun. Tuhan mereka. Tuhan Firaun. Tuhan sekalian alam!

Baju-baju biru yang mengawali ketat stesen Sistem Transit Aliran Ringan Pasar Seni mematikan lamunan Amir. Engkau kini kembali ke alam nyata. Namun susuk Firaun masih di mana-mana. Engkau mahu jadi seperti ahli sihir - yang tetap teguh dalam beriman, walau dalam keadaan penuh ancaman.

Pintu koc terbuka. Ah, saat engkau melangkau keluar, saat wajah sahabat-sahabat karibmu muncul dengan tangan melambai, saat itu kau ragu. Wajah ibumu. Biasiswamu. Universitimu. Apa-apa yang engkau ada sekarang mungkin hilang. Apa-apa yang kau boleh ada kemudian mungkin lenyap. Keputusan apakah ini Amir?!

Engkau berpelukan dengan sahabat-sahabatmu yang setia menanti. Senyuman berbalasan. Indahnya pagi itu, tiada siapa yang tahu apa yang bakal berlaku. Deru kereta pudar saat engkau turun dari stesen. Hanya gagak yang bersahutan pada pagi itu. Lengang. Hari ini kota raya lengang. Baju-baju biru berulang-alik. Sesekali pandangan kepada engkau dan sahabat-sahabatmu dilemparkan.

Berlagak kasual. Tiada apa yang salah. Engkau tidak mendokong cita politik. Engkau, dan ramai lagi menjunjung cinta keadilan. Engkau tidak datang untuk merusuh. Engkau dan ramai lagi hanya datang untuk menuntut. Menuntut agar sistem yang pincang tunduk pada suara rakyat yang cintakan keadilan dan kesaksamaan. Engkau tidak betah lagi hidup dalam penipuan.

Memikirkan itu sahaja. Jiwa engkau jadi lali dengan lolongan suara hati yang pengecut. "Aku yang pengecut, engkau duduk diam di sudut hati. Hari ini, nyata bukan hari engkau!" Suara hati engkau berbisik.

Saat itu kau melangkah. Lautan manusia mula membanjiri jalan yang dahulunya lengang. Gagak yang  menguak tenggelam dalam sorakan lautan manusia yang pelbagai ragam itu. Ya, manusia punya suara, dan mereka mahu suara mereka didengari.

Dengan lafaz bismillah, kau menyertai barisan yang semangat itu. Semboyan keadilan telah lama berbunyi. Apakah salah engkau mahukan negara yang bersih?

2 comments:

  1. Jiwa jiwa yang menuntut keadilan itu dtg dari pemahaman dan ilmu.

    Hidup hidup!
    Hidup rakyat!
    Hancur hancur!
    Hancur kezaliman!

    ReplyDelete
  2. Hidup!

    :)

    Moga masa depan yang lebih baik, dengan izin-Nya

    ReplyDelete