Thursday, April 19, 2012

#occupydataran


Memandangkan saya follow ramai jugalah figura-figura pembangkang di twitter jadi isu ini sangatlah kecoh. RT sana, RT sini. Memandangkan saya mahkluk Tuhan yang dikurniakan akal untuk berfikir dan menilai, jadi saya isi kapasiti itu dengan menyuarakan pendapat saya di blog yang tidak seberapa ini.

Mula-mula kita kaji dulu, sebab apalah Occupy Dataran ini diwujudkan, sebab BERSIH 3.0 kah? Orang yang dah tahu mungkin cakap tiada kaitan, tapi tunggu dulu. Let me present my case. Yang saya pasti ini bukanlah satu misi perjuangan yang kosong - asas memang ada asas, dan meminjam kata-kata YB Dr. Zul Nordin yang memberikan pengisian di program Alif Ba Ta di Rochester Institute of Technology NY dulu, "Ideal dah ada, tapi value  yang digunakan adakah praktikal dan bertepatan dengan nilai islam dan ketimuran perlu dipertimbangkan."
Kredit: FreeMalaysiaToday

OK. Kita biarkan dulu. Kita bincangkan isu-isu yang diputarkan. Antara isu yang hangat yang dimainkan oleh protester-protester ini ialah isu PTPTN di mana mereka mahukan PTPTN ini dimansuhkan - apa yang diperjuangkan sama ada sudah tidak ada lagi PTPTN atau pendidikan percuma agak kabur. Tetapi daripada pembacaan saya mereka mahukan kedua-duanya.

MANSUH PTPTN

Seperti yang semua sedia maklum, PTPTN atau nama momokannya PTPTpu memang agak terkenal di Malaysia. PTPTN merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang bertanggung jawab untuk memberi pinjam dan memungut hutang. Antara ahli lembaganya ialah Ahli-ahli Parlimen sendiri, ahli-ahli yang dilantik Menteri, dan pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan seperti LHDN. Memang satu tujuan yang mulialah, nak bantu golongan pelajar yang kurang bernasib baik tidak mendapat tajaan mana-mana pihak dan memberikan mereka peluang kedua untuk belajar di sistem tertiari. Cuma yang menyesakkan ialah pungutan semula pinjaman itu dikenakan caj pengurusan sebanyak 3%. Senang cerita, secara asasnya itu ialah riba - yang ditukar namanya kepada caj pengurusan.

Tetapi kemudian, konsep ujrah pula diperkenalkan. Ujrah atau upah ialah satu facade islamik yang cuba diketengahkan. Dari 3% berkurang kepada 1%. Walaupun, menurut Ustaz Zaharuddin [di sini], masih ada lagi "helah ribawiyah" dan tidak berjaya untuk memenuhi standard ulama' antarabangsa kerana upah berdasarkan jumlah pinjaman atau tempoh pinjaman TETAP RIBA, sebaliknya haruslah dinilai melalui kos pengurusan semata-mata.

Pendapat saya, baguslah ada ujrah, kurang beban. Cuma keikhlasan itu diragui sedikit kenapa tidak di"ujrah"kan semua pinjaman - sebaliknya kena pohon. Jadi kalau ada bukan muslim yang membaca entri ini, silalah tukar kepada ujrah, nama je nama arab tetapi terpakai untuk semua pihak sebab dari pencarian saya tidak ada klausa hanya dikhaskan untuk orang islam.

Kredit: MalaysiasDilemma
Menurut rancangan Rafizi, Pengarah Strategik PKR, kerajaan boleh membayar RM 24.7 Billion kerugian yang ditanggung oleh Malaysia melalui pelbagai cara seperti elak rasuah dan juga, menurut beliau, sedut bond daripada Petronas sebanyak RM 2 Billion setahun, maka akan mampu mengganti semula pinjaman tersebut.

Jadi patut tak mansuh?

Kita bincang isu pendidikan percuma dulu.



PENDIDIKAN PERCUMA


Percuma. Semua orang suka. Cuma masalahnya bila percuma ialah orang akan take things for granted. Biasalah, bila kita tidak letakkan nilai pada sesuatu manusia suka untuk menganggapnya tak bernilai. Jadi secara asasnya pendidikan percuma untuk sekolah rendah dan menengah sangat saya sokong, dan sudahpun dibuat. Kudos kepada kerajaan.

Tetapi daripada pihak kerajaan, walaupun percuma, tolonglah pastikan ia berkualiti dan holistik. Dengan sistem pedidikan yang exam-oriented saya rasa tidak patut untuk perjuangkan isu pendidikan percuma, kerana content yang belum sedia mantap lagi dan malah boleh dikatakan masih jauh dari Falsafah Pendidikan Negara.

Kredit: Crankshafted
Isu Pendidikan Percuma di peringkat tertiari juga bagi saya sangat sukar untuk dibayangkan. Dengan sistem yang sedia ada, jalannya masih kabur. Para demonstran Occupy Dataran perlu lebih terperinci lagi dengan menyediakan pelan bagaimana untuk merealisasikan pendidikan percuma. Apa yang saya lihat pendapatan negara melalui cukai dan perdagangan harus juga digunakan untuk menjana ekonomi dan pendapatan seterusnya, membangunkan infrastruktur dan sebagainya, kalau semua hendak dilaburkan kepada rakyat bagaimana pula dengan proses pembangunan untuk generasi seterusnya? Bukan main sorak Najib Altantuya, kalung bunga - sebagai mahasiswa saya malu. Sangat malu. Kita kalah dalam beremosi.

Benar, saya pelajar tajaan. Saya tak rasa apa yang peminjam PTPTN rasa. Segalanya ditaja, tetapi jangan lupa, kami perlu bayar balik dengan kecemerlangan dan juga perkhidmatan. Ada pinjaman boleh ubah dan ada juga tajaan penuh tetapi perlu berkhidmat dengan kerajaan atau syarikat yang menaja.. Saya secara peribadi juga tidak setuju dengan pelajar tajaan yang mengulang subjek untuk semester seterusnya kerana ia akan merugikan kerajaan, dan seterusnya pelajar akan mengambil ringan. Bagi saya, baik diasingkan yuran pengajian yang berulang itu dan kenakan pungutan sewaktu kami bekerja kelak - mungkin lebih adilnya di situ. Wallahua'lam.

Berkenaan isu pendidikan percuma, khusus di Pendidikan Tertiari - berilah kepada yang layak. PTPTN tidak perlulah dimansuhkan sebaliknya dijadikan pinjaman boleh ubah dan KAJI SEMULA KADAR yang dikenakan - walau apa pun namanya. Secara tidak langsung ia memberikan peluang kedua bagi yang tidak bernasib baik, dan menjadikan faktor eksternal untuk lebih cemerlang.

MAHASISWA BETUL?


Saya tak tahu. Betul tak tahu. Adakah demonstrasi jalanan cara terbaik? Yang pasti, saya menentang keras chanting kotor yang digunakan, apatah lagi yang berunsud ad hominem (cercaan atas peribadi seseorang) kepada DS Najib ke pegawai DBKL ke malah siapa-siapa pun. Saya juga menentang keras vigilante jalanan yang mempraktiskan budaya samseng, kononnya atas nama kerajaan dengan memukul demonstran sana-sini. Sekali lagi kita kalah dengan emosi dan memalukan diri. Terbahak-bahaklah musuh kita di luar sana.

Saya juga membantah pelajar-pelajar yang bila dapat duit sibuk nak beli telefon Blackberry dan iPhone atau belanja awek. Kemudian keputusan pun cukup-cukup makan, mahu pula sibuk-sibuk nak berdemonstrasi angkat poster tuntut pendidikan percuma. Ini kezaliman. Mahukan pendidikan yang percuma tetapi anda sendiri tidak menghargainya. Jika sudah tahu mahu dibayar balik wang tersebut, menabunglah supaya memberi hasil kelak.

Demonstrasi? Saya kurang suka. Tetapi itu mungkin cara paling efektif dalam lanskap sosiopolitik Malaysia sekarang. Media yang berat sebelah, walau sebesar manapun dialog atau debat yang dianjurkan kalau tidak menyebelahi pihak "tersebut" manakan dapat liputan. Tetapi berdemonstrasilah dengan akhlak, dengan intelek agar objektifnya tercapai. Tak kisahlah anda ikhwah ke akhwat ke, libbies ke konservatif ke socialist ke - kekerasan baik dalam perkataan atau perbuatan yang tidak kena pada tempatnya tidak pernah menjadi jalan penyelesaiannya. Setakat menang sorak, dan mahu nampak tertindas sahaja tidak menjamin apa usaha anda membuahkan hasil.

KESIMPULAN


Saya dilahirkan daripada sistem yang rosak. Dan saya tekad mahu mengubahnya dengan mengubah diri saya dahulu. Itu intisari pesan Mahatma Gandhi. Mana-mana revolusi harus bermula daripada dalam diri.

Di USA pelajar yang tidak cukup wang, mereka bekerja untuk membayar yuran tuisyen (tuition fees di US ialah yuran pengajian) yang boleh mencecah $12 000 satu semester. Bukan semua orang senang, atau ada simpanan atau tajaan oleh itu, ada yang bekerja sampai 3 kerja dalam satu-satu masa. Ini bagi saya usaha yang baik jika universiti tempatan menyediakan peluang bekerja di Kampus - di kedai makan atau sebagainya untuk membantu pelajar-pelajar mencari wang tanpa mengharapkan secara total kepada pinjaman. Lebih baik, mereka boleh menabung untuk membayar semula pinjaman.

Demonstrasi-demonstrasi ini memang popular di negara barat - anda tahu kenapa? Kerana suara massa memang sangat penting dan pengundi-pengundi barat tidak takut untuk merubah kerajaan. Saya bukanlah mahu bermodelkan barat, tetapi ada yang kita boleh ambil iktibar. Dahulu sewaktu pemerintahan British pun ada rakyat Tanah Melayu yang sangsi akan kebolehan mereka untuk mentadbir tanah sendiri. Keyakinan kita goyah dek asahan dan tujahan imperialisme, dan masalah ini berulang dan mengalir dalam lipatan sejarah. Kini kita alaminya. Kita takut untuk merubah kerajaan sekarang, takut itu dan ini. Tetapi berilah peluang lima tahun kepada "mereka", dan kita lihat hasilnya setelah 50 tahun ditadbir oleh pemerintahan yang sama kita masih gagal berpuas hati. Kalu tak puas hati, kita tukar balik. Barulah ada dinamismenya di situ.

Dan golongan berkuasa juga perlulah belajar melepaskan kuasanya kerana banyak yang kita boleh belajar di bawah. Dan apalah seronok sangat mengejar kepimpinan - kerana sebelah kaki di neraka, sebelah lagi di syurga. Gagallah sistem kepimpinan apabila pemimpin sudah menganggap pangkat itu ialah karamah (kemuliaan) bukan lagi amanah (tanggungjawab) yang akan dipersoalkan kelak.

Tidak, saya tidak memenangkan mana-mana pihak. Saya cuba sedaya upaya memberikan pandangan yang objektif. George Washington pernah berkata "Absolute power corrupts absolutely" oleh itu saya menyokong juga usaha BERSIH 3.0 yang menuntut proses pilihanraya baik dari segi kempen, utilisasi media dan pungutan undi yang lebih telus. Kalaulah sistem dwiparti negara kita lebih tampak dan diterjemahkan dalam proses pilihan raya, saya yakin mana-mana pihak akan lebih telus dalam memegang kerajaan sebab mereka tahu ada persaingan. Ada check and balance. 
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Maidah 5:42)
Berlaku adillah. Saya sudah melakukan penyelidikan saya dan menggariskan pendapat saya. Saya tidak memaksa sesiapa pun untuk bersetuju kerana kita bukanlah robot yang boleh diprogramkan. Buatlah kajian anda dengan berhati-hati, jangan semberono dan ikut emosi serta bertanggungjawablah atas apa yang anda percaya. Memetik kata-kata Stephen Hawking,

"The enemy of knowledge is not ignorance, but the illusion of knowledge"


Saya hanyalah pemuda yang sedang belajar dan akan terus belajar. Wallahua'lam.

2 comments:

  1. saya rasa macam saya sedang berdebat ketika membaca posting ini. terima kasih atas peluang itu saudara ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. I am honored to make you feel like that. Terima kasih kembali saudara.

      Delete