Saturday, March 21, 2015

Usai Jumaat

Hari itu hari Jumaat yang terik. Memang kebiasaannya di UKM, saya akan memarkir kereta di hadapan lingkaran Jabatan-Jabatan Fakulti Sains dan Teknologi kemudian saya akan berjalan ke kelas. Dan hari tu hari jumaat, saya berjalan dalam kira-kira 10 minit ke masjid universiti.

Usai solat, saya berjalan lagi kira-kira dalam 15 minit (atau kurang) ke kelas di bangunan baru FST.

Ah, teriknya matahari membuatkan titik-titim peluh saya meluncur laju. Lencun juga dibuatnya. Sambil menggalas beg dan di tangan kiri terdapat gelas plastik minuman yang baru saya habisi.

Terik, memang terik.

Saya melintas di hadapan sepasang suami isteri yang sibuk mengumpul daun-daun kering di berguguran. Di kawasan parkir kereta Kolej Ungku Omar pula sibuk berdentam dengan lagu-lagu barat (saya kira dari zaman 2000-an). Satu ironi untuk UKM mungkin.

Saya sempat menyapa dan memberikan senyuman kepada makcik yang sibuk membongkok mengutip daun-daun kering.

Kemudian, makcik itu menyapa saya, "Nak, ini boleh buang sampah dalam nih" sambil menunjukkan kepada karung-karung guni yang disandarkan pada pengadang jalan."

Saya berpatah balik, mengangguk-ngangguk dan melakukan sepeti mana yang disuruh.

"Kesian pegang sampah ni. Buang je di situ,"

Saya sempat memberikan senyuman, dan kemudian berlalu pergi.

Saya benar-benar tersentuh.

Anda tidak perlukan sebab untuk mengasihani manusia. Apatah lagi menjadikan keadaan diri anda sebagai alasan untuk tidak mengasihani.

Kononnya, kita yang lebih berhak "dikasihani"

Ah sungguh, hati yang lapang sentiasa menginginkan yang terbaik untuk manusia lain. Kelapangan bukannya pada apa yang anda miliki, tetapi pada bagaimana anda melihat keadaan.

Saya doakan kesejahteraan untuk makcik tersebut dan untuk keturunannya.

No comments:

Post a Comment