Friday, November 4, 2011

Aidil Adha Tiba.

Kita lihat si kecil yang besar hikmahnya,
menduga siapakah si pencipta dirinya,
katanya pada bintang,"Tuhanku bukanlah yang hilang,"
katanya pada bulan, "Aku benci pada yang terbenam,"
Dilihatnya matahari, penuh kuasa memancar,
tetapi tenggelam apabila malam larut,
Putusnya, "Aku bersaksi akan Tuhan yang mencipta
Langit, bumi dan seisinya"
Jiwa kecil sudah mengenali makrifah,
lantas dipilih menatang Khalilullah.

Ayahnya sendiri petukang berhala,
tetap teguh pendiriannya menjulang kebenaran,
Muslihat dirancang satu titik penyedaran,
"Lihatlah yang berhala besar,
Kapak ada padanya, maka dialah pemusnah
berhala"

Kaumnya tenggelam dalam kebodohan
dan dalam hanyut kebodohan
Hukuman dijatuhkan
Dicampaknya ke dalam api marak
Tapi sungguh urusan itu milik Allah
Api menyejuk menenangkan kekasih-Nya.

Tidak kurang hebatnya,
AlQuran perkenalkan ketokohan anaknya
Mimpi ayahnya dibenarkan
Dia rela dikorbankan

Sungguh Tuhan itu Maha Pengasih
Jua Maha Penyayang
Jibril mampir memberi kibas
Maka si anak dilepaskan

Iman dikuatkan
Kesabaran ditampakkan

Benarlah, dari keduanya
Hadir insan agung penyeri alam
Muhammad Shallahu 'alaihi wasalam
wa ali Muhammad
Kama barakta 'ala Ibrahim
wa ala 'ali ibrahim


Qurban asalnya Qa-ra-ba
Ertinya dekat dan mendekat
Kita berkorban untuk mendekat
dan berdamping dengan Zat

Pabila teruji, Ismail dan Ibrahim
memilih untuk berkorban
lalu jarak terkurang
antara mereka dengan Tuhan


Kisah dua insan
Jadi pedoman suguhan Jiwa
Eid Al adha jadi sambutan
Ibrahim dan Ismail
Alahuma as-Salam

Yang satu menentang dalam kejahilan
Agar kebenaran tertegak tanpa kompromi
Yang satu membenarkan dalam keimanan
Perintah tuhan tanpa kompromi

Sungguh benar itu dua Nabi
dan kita hanya insan biasa.
tetapi ingatlah kita tidak dicampak
ke api yang menjulang
Mahupun ayah mendekat dengan mimpi
mahu dikorban disembelih

Perjuangan kita pada islam
tiada berhala untuk kita roboh
tiada mimpi ayah kita terpatuh
hanya wahyu Tuhan Maha Agung
dan cetusan peribadi Contoh Ulung

Nah, aidil adha tiba
Sediakah mengulang ibrah
Pada kuatnya Ibrahim
dan tegarnya Ismail?


No comments:

Post a Comment