Saturday, November 12, 2011

Tolong, 15 saat sahaja!

Saya berkesempatan dahulu (eh tak lah lama sangat) tapi minggu lepas untuk menghadiri program. Pada asalnya berat sangat hati nak pergi sebab kena bayar dan duit pula tiada dan ada pula lagi dua ujian yang bakal menanti tertawa kejam melihatku terkontang-kanting belajar.

Tetapi setelah dipaksa siap dengan umpan yang ada orang nak bayarkan, saya pun pergilah.

Program ini namanya Change Begins with Choice 2.0, bukan, tiada kaitan dengan Bersih 2.0 atapun USB 2.0. Ia merupakan sebuah program anjuran MasterPIES dengan kelolaan bersama ikhwah (saudara-saudara) US yang diketuai oleh Bro Hazrool yang Handsomez. Sebenarnya banyak yang saya dapat, tapi saya cerita apa yang saya sudah amalkanlah, nanti jadi don't walk the talk pula.

Semasa program, kami diberi kesempatan untuk meluahkan isi hati kami selaku pelajar tajaan. Cheh, bukan sebab elaun tak cukup, tetapi kami tiada kebebasan untuk memilih apa yang sebenarnya kami mahu. Maklumlah sebelum dapat tajaan kami harus memilih - dan hanya berdasarkan keputusan SPM yang gempak - eh, alhamdulillah - kami memilih apa yang kami rasa kami patut ambil.

Tetapi apa yang kami rasa patut ambil tidak sama dengan apa yang kami mahu. Jadi satu sesi kami dalam program itu didedikasikan dengan "Kalau anda boleh tukar major apa yang anda mahu ambil sebenarnya tanpa perlu merisaukan mengenai apa-apa baik wang, tajaan, mahupun ibu bapa"

Jadi memandangkan kami rata-ratanya budak sains dan sains aktuari, masing-masing ada cita-cita yang unik lagi tersendiri. Nak ambil sains sosial, kajian keluarga, nak melukis komik dan sebagainya.

Penceramah kami pada hari itu sangat tersendiri. Brother Kamran Pasha, seorang penulis skrip, novelis, dan penerbit di Hollywood (ya, anda tak salah baca) yang juga memegang ijazah dalam bidang Theologi, Undang-undang dan MBA dari Princeton. Wah, kenapa hebat sangat? Sebab dia memilih untuk mengikut saya quote "What Allah created you for". 


Antara drama bersiri US yang dikarang oleh Kamran Pasha ialah Sleeper Cell, sedutannya di bawah.


p/s: Cerita dia taklah 100% islamik, ada juga adegan yang "tak bersih". Faham maksud saya?  Tetapi mesej yang disampaikan itu islamiklah. 


Ok, ini baru muqaddimah bila nak masuk entri yang berkaitan dengan tajuk? Ha, maafkan saya. Saya akan cerita sikit.

Yang pertama, anda ada impian? Tetapi jalan yang anda ambil membuatkan anda semakin jauh dengan impian anda?

Jangan menyerah kalah! Jika impian anda membuatkan anda menyumbang kepada ummah, dalam keadaan yang unik, seperti yang Kamran Pasha lakukan, anda masih boleh merancang untuknya.

Antara langkah mudah yang Kamran ajarkan kepada kami ialah prinsip 15 saat yang diambilnya daripada 15 second Principles oleh Al Secunda

Saya tak pernah baca, jadi tak boleh cerita banyak. Tetapi bak kata Kamran luangkan masa hanya 15 saat untuk anda lakukan apa yang anda rasa takut/malas nak lakukan, kalau selepas 15 saat anda masih lagi tak merasa "dzuq"-nya, jadi berhentilah. Sambung lain kali.

Ha, macam mana? Katakan anda mahu menulis novel tetapi anda takut/malas nak memulakan. Hanya luangkan masa 15 saat di depan Microsoft Word dan mulalah menaip.

Kalau anda mahu jadi Hafiz al-Quran tetapi tak dapat peluangnya, maka luangkanlah 15 saat untuk anda memulakannya.

Kalau anda mahu belajar pun, dan rasa malas... pun ingat... berapa saat?

Ya. 15 saat :D

Kalau anda minat melakar dan berfesyen, maka luangkanlah masa 15 saat untuk melatih bakat anda. Serius, kita perlukan lebih ramai muslim yang faham agenda dan risalah sebalik fesyen islamik, bukan setakat hanta tahu melabel islamik hanya dengan menutup rambut (saya cadangkan buku Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani untuk anda hadam asas falsafah fesyen islam)

Malah, bukan setakat impian terpendam. Kalau hendak beramal pun macam tu juga. Nampak al-Quran cantik tersusun atas meja, luangkanlah masa 15 saat. Bacalah walau seayat, kemudian tadabbur sikit. Besar ganjaran. Satu huruf 10 pahala Allah bagi. Mulakanlah dengan 15 saat.

Kita sering takut untuk berbuat baik kerana kita sering mendapat gambaran bahawa kita akan jadi tak konsisten, tewas dengan cabaran dan sebagainya. Memang, anda patut begin with the end in mind - tetapi seorang muslim, "the end" yang kita cari sepatutnya bukanlah perjalanan kerana kesusahan dan kesenangan itu ialah proses. Jadi apakah "the end" yang dimaksudkan?

Jangan fokus pada proses. Fokus pada sasaran!
[kredit]
Kita sebut hari-hari dalam niat kita - lillahi taala. Itulah "the end" agung umat islam, melangkaui batas dunia material yang kita kenal - goal kita. Keredhaan Allah, pahala-Nya dan syurga-Nya. Itu yang kita fokuskan. sasaran kita. Tetapi salah kita kerana asyik fokus kepada fokus.

Kita perlu ingat, bahawa setiap yang baik itu datang daripada Allah, maka apabila anda menulis novel seperti kata Kamran Pasha, dia hanya menjadi asbab untuk ilham Allah datang kepadanya. Katanya 95% daripada novel yang ditulis dia tidak ingat pun langsung bahawa dia yang menulisnya. Oleh itu, 15 saat yang pertama anda hanya perlu fokus dan membiarkan sub-conscious mind  anda untuk ambil alih. Wah nampak kompleks bukan? Tetapi tidak, sebenarnya kita hanya perlu memulakan.

Juga, jika anda berpeluang untuk kembangkan lagi apa yang anda mahu, maka tambahlah ilmu anda dalam bidang-bidang berkaitan. Ada banyak cara, boleh baca buku, atau ambil kelas jika universiti anda tawarkan. InsyAllah apa yang anda mahu itu pasti akan datang.

Tetapi, jalannya tidak pernah mudah. Hatta nabi Muhammad SAW pun perlu sengsara untuk menyebarluaskan agama Allah ini, apatah lagi kita. Oleh itu, kita perlu beringat, bahawa setiap kali dalam kesusahan dalam pilihan yang kita ambil serahkan urusan kita pada Allah. Dia yang meletakkan kita dalam kesusahan, dan pasti dia juga yang akan keluarkan. Percayalah kesabaran dalam ujian itu sangat besar di sisi   Allah.

Jadi bagaimana? 15 saat sahaja.


Ambil jam randik anda dan bermulalah!

3 comments:

  1. Wan google xde pun mustika kalbu.manikan kalbu adalah.tu ke?

    ReplyDelete
  2. rasa macam baca post hm tuah iskandar pulak hihi.

    ReplyDelete